AM

KARNIVAL SUKAN BENDANG PERAK TENGAH MERIAH, GAMIT MEMORI

22/06/2024 07:10 PM

PARIT, 22 Jun (Bernama) --  Kira-kira 3,000 pengunjung dan peserta hadir memeriahkan Karnival Sukan Bendang Daerah Perak Tengah 2024 yang berlangsung di Kampung Senin, Mukim Layang-Layang di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak Khairudin Abu Hanipah berkata karnival itu dianjurkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Tourism Perak.

“ Alhamdulillah, hasil kerjasama pelbagai pihak akhirnya karnival ini dapat dilaksanakan selepas tujuh tahun ia tidak diadakan kerana pelbagai halangan dan kekangan.

“Karnival kali ini dimeriahkan dengan beberapa acara menarik seperti pertandingan bola sepak bendang, tiang licin dan meniti basikal yang disertai bukan hanya oleh penduduk setempat malah pelajar institusi pengajian tinggi,” katanya ketika ditemui pada karnival itu. 

Khairudin berkata di samping memperkenalkan kembali tradisi dan budaya tempatan kepada golongan muda, penganjuran Karnival Sukan Bendang itu juga sempena kempen Tahun Melawat Perak 2024.

“Kita cuba tampilkan kelainan dan mungkin selepas ini kami akan buat dalam skala lebih besar berdasarkan kehadiran pengunjung yang memberangsangkan tahun ini,” katanya.

Sementara itu, pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP), Abubakar Aji, 35, teruja apabila berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menyeronokkan di karnival itu.

Pelajar asal Nigeria itu berkata dia hadir ke karnival itu bersama rakan dari Pakistan dan Bangladesh untuk mengenali budaya orang Melayu secara lebih dekat.

“Ia sungguh menyeronokkan kerana seumur hidup saya tidak pernah melihat apatah lagi merasai sendiri mana-mana acara sukan dalam bendang,” katanya.

Bagi Ahmad Shamil Mohamed, 44, pula pertandingan bola sepak bendang yang disertainya mengembalikan kenangan zaman sekolah ketika bermain lumpur dan mandi di tali air.

“Sebagai anak jati Kampung Senin saya rasa rugi sekiranya tidak menyertai Karnival Sukan Bendang ini kerana acara yang diadakan begitu menggamit memori,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan