EKONOMI

MAPA 2024 LULUS CADANGAN PERUNTUKAN RM30 JUTA, LAKSANA PERNIAGAAN BAHARU

22/06/2024 07:01 PM

PETALING JAYA, 22 Jun (Bernama) -- Mesyuarat Agung Perwakilan Angkasa ke-38 (MAPA 2024) hari ini meluluskan cadangan peruntukan sebanyak RM30 juta antara lain bagi melaksanakan perniagaan baharu dalam usaha memperkasakan lagi sektor koperasi dan ekonomi negara.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata ia termasuk Projek Pembangunan Perniagaan Koperasi dan Projek Keterjaminan Makanan yang meliputi kategori tanaman, ternakan dan perikanan.

“Dunia sekarang menghadapi isu perubahan iklim, kita lihat banyak negara yang sepatutnya keluarkan bahan makanan dilanda kemarau, banjir, peperangan yang mengakibatkan bekalan makanan tidak boleh dikeluarkan.

“Jadi, perkara ini menjadi halangan dan cabaran besar kepada ketidakcukupan bekalan bahan makanan di dalam negara kita dan Angkasa bersama koperasi mengambil inisiatif untuk melihat perkara ini dengan lebih serius supaya kita dapat terlibat dalam bidang berkenaan,” katanya kepada pemberita pada MAPA 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata cadangan perniagaan baharu lain yang turut dibincangkan dalam mesyuarat hari ini termasuk Projek Inkubator Pusat Pemprosesan Coklat "Bean to Bar" dan Projek Inkubator Lembu Pedaging Fasa 1: Pusat Kuarantin Lembu.

Selain itu, Kemudahan Kredit Pusingan bagi tujuan pengembangan projek dan Pinjaman daripada Angkasa ke MyAngkasa Holdings Sdn Bhd bagi penubuhan 10 pusat dialisis baharu juga dibincangkan.

Terdahulu, Abdul Fattah dalam ucapannya turut menekankan mengenai kepentingan koperasi yang berperanan penting sebagai pemangkin pembangunan ekonomi negara yang inklusif dan mampan.

Mengenai Kongres Koperasi Kebangsaan yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 25 Julai ini, beliau berkata ia akan memberi fokus kepada usaha memperkasakan dasar dan undang-undang berkaitan koperasi serta merangka hala tuju 100 tahun koperasi negara.

Abdul Fattah berkata agenda melestarikan koperasi juga akan ditekankan dalam kongres berkenaan memandangkan sektor terbabit menyumbang besar kepada pertumbuhan ekonomi negara dengan jumlah perolehan direkodkan sebanyak RM64.6 bilion setakat Disember 2023.

Kongres yang akan berlangsung selama dua hari itu kata beliau, dijangka disertai lebih 5,000 koperasi  seluruh negara dan dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Julai, selepas kali terakhir kongres itu diadakan pada 1969.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan