AM

AKPK BANTU LEBIH RM6.8 JUTA TUNGGAKAN HUTANG PMKS DI PERLIS

22/06/2024 05:13 PM

KANGAR, 22 Jun (Bernama) -- Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) telah membantu lebih RM6.8 juta tunggakan hutang perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Perlis melalui Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SPPK) setakat April lepas.

AKPK dalam satu kenyataan media kepada Bernama hari ini memaklumkan agensi itu menyediakan bantuan pembayaran balik pinjaman atau pembiayaan kepada usahawan PMKS yang menghadapi cabaran berkaitan isu memperbaiki semula situasi kewangan perniagaan mereka sejak ia dilaksanakan pada 2020. 

“AKPK bergerak proaktif dalam memberikan pendedahan, nasihat serta solusi kewangan kepada usahawan PMKS agar mereka dapat mengawal keadaan kewangan dan mengembangkan perniagaan mereka ke tahap yang lebih baik serta berdaya saing dalam industri,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memberitahu kebanyakan pinjaman atau pembiayaan yang distrukturkan di bawah SPPK AKPK adalah dalam kategori pinjaman ataupun pembiayaan kurang daripada RM500,000 iaitu sebanyak 62 peratus.

Menurut kenyataan itu terdapat kes melibatkan seorang usahawan PMKS mengakui yang kini masih terkesan meskipun telah melepasi krisis pandemik apabila tidak dapat mengembalikan kestabilan kedudukan kewangan perniagaan seperti keadaan sebelumnya.

“Keadaan semakin runcing apabila dia terpaksa berdepan dengan kos operasi yang semakin meningkat waktu ini. Dia telah berjumpa dengan pihak bank untuk mendapatkan bantuan dan akhirnya dinasihatkan untuk mendapatkan bantuan selanjutnya daripada AKPK,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, peniaga mahupun usahawan PMKS di Perlis diminta segera mendapatkan nasihat dan langkah penyelesaian daripada penasihat kewangan di cawangan AKPK berdekatan sekiranya menghadapi masalah dari segi kedudukan kewangan perniagaan masing-masing.

“Di samping itu, PMKS digalakkan untuk meningkatkan dan mengembangkan perniagaan sedia ada dengan menggunakan pelbagai insentif pembayaran dan latihan yang disediakan agensi kerajaan termasuk Bank Negara Malaysia, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN  Nasional), SME Corp dan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd,” menurut kenyataan itu.

AKPK juga menyediakan modul Smart Money Smart Business kepada PMKS dalam menerangkan ciri-ciri matlamat kewangan perniagaan dan perancangan sumber pendapatan perniagaan berdasarkan perbelanjaan melalui teknik pengiraan menggunakan kalkulator yang sangat mudah dan interaktif.

Menurut kenyataan itu PMKS juga boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh AKPK secara percuma di www.akpk.org.my atau platform media sosial rasmi AKPK.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan