AM

MBMB LAKSANA GARIS PANDUAN BAHARU, TAMBAH BAIK KUALITI PERKHIDMATAN BECA

22/06/2024 12:28 PM

MELAKA, 22 Jun (Bernama) -- Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan melaksanakan satu garis panduan baharu kepada pengayuh beca di negeri ini dalam meningkatkan mutu perkhidmatan produk pelancongan itu.

Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata kira-kira 300 pengayuh beca yang berdaftar perlu menepati syarat ditetapkan sebelum memperbaharu lesen mereka yang akan tamat pada Disember depan.

"Kesemua mereka juga perlu menjalani saringan kesihatan dan proses temu duga bermula Oktober    selain akan dibekalkan dengan ilmu pengetahuan mengenai lokasi pelancongan di kawasan tumpuan.

"Pengenalan garis panduan ini juga untuk memastikan kebajikan mereka terjamin di samping meningkatkan kualiti perkhidmatan beca di Melaka," katanya kepada pemberita di Taman Warisan Dunia, Jonker Walk di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas hadir di Kempen Pengurusan Anjing Terbiar peringkat MBMB 2024 yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana Low Chee Leong.

Mengulas lanjut Shadan berkata penambahbaikan itu berikutan terdapat aduan dan rungutan yang diterima daripada pelancong mengenai perkhidmatan beca.

"Ini juga untuk memastikan tiada dalam kalangan pengayuh yang mengambil kesempatan terhadap pelancong dengan mengenakan kadar bayaran yang berbeza-beza," katanya.

Sementara itu, beliau berkata kempen pengurusan anjing terbiar itu bertujuan menyebarkan maklumat tentang isu haiwan terbiar dan peranan yang boleh disumbangkan oleh komuniti bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) setempat.

"Sepanjang kempen ini berlangsung, tinjauan di lokaliti mendapati terdapat pengurangan populasi anjing terbiar dan berlaku peningkatan permohonan lesen serta bilangan adopsi anjing di kawasan MBMB.

"Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan populasi anjing terbiar di dalam kawasan pentadbiran MBMB dan dapat membantu pihak PBT untuk mengurangkan aduan kacau ganggu haiwan itu," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan