POLITIK

PRK SG BAKAP: JENTERA ANGKATAN MUDA HARAPAN PERLU GUNA PENDEKATAN HIBRID TANGKIS TOHMAHAN

22/06/2024 12:54 AM

NIBONG TEBAL, 21 Jun (Bernama) -- Jentera Angkatan Muda Harapan disaran menggunakan pendekatan hibrid iaitu gerak kerja secara fizikal dan maya bagi menangkis naratif terpesong berdasarkan fakta pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang bermula esok.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Harapan Adam Adli Abdul Halim berkata gabungan jentera Pakatan Harapan (PH) harus menjadi pasukan hadapan dalam kalangan masyarakat bagi menangkis fitnah serta tohmahan tidak berasas yang boleh melemahkan kepercayaan dan sokongan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan.

"Ada banyak isu yang mungkin dilihat serius ataupun menimbulkan banyak kekeliruan masyarakat antaranya soal berkait kos sara hidup dan beberapa isu sensasi, jadi kita sangat tekankan setiap jentera kita sedia berkomunikasi dan memberi respons yang baik dengan masyarakat tempatan untuk menerangkan isu-isu berkaitan bersandarkan kepada angka dan fakta dengan betul.

"Kita juga perlu aktif di media sosial dan tangkis mana-mana sentimen negatif yang cuba dimainkan pada PRK ini, jadi kita kena turun padang dan kena sedialah dengan kritikan serta tangkis dengan baik naratif terpesong yang dimainkan,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Klinik Bola Sepak Kementerian Belia dan Sukan di sini hari ini.

Angkatan Muda Harapan terdiri daripada Angkatan Muda Keadilan (AMK), Pemuda Sosialis Parti Tindakan Demokratik Malaysia (DAPSY), Pemuda AMANAH Nasional, Wanita Muda Amanah Nasional (WARDA), Pergerakan Pemuda UPKO dan Pergerakan Generasi Muda UPKO.

Adam Adli, yang juga Ketua AMK, berkata jentera parti dalam Kerajaan Perpaduan PH-BN (Barisan Nasional) juga akan bergerak sebagai satu pasukan bagi merampas semula kerusi itu yang dimenangi PKR selama tiga penggal dari 2008 sebelum ia terlepas ke tangan PAS pada Pilihan Raya Negeri Ogos lepas. 

PRK DUN Sungai Bakap diadakan berikutan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat penyakit keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 6 Julai ini sebagai hari mengundi dan pengundian awal pada 2 Julai manakala esok ialah hari penamaan calon.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan