AM

KARNIVAL GEN-AI SASAR KEHADIRAN 10,000 PENGUNJUNG

21/06/2024 10:22 PM

NIBONG TEBAL, 21 Jun (Bernama) -- Karnival Gen-AI yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini di pekarangan C-Mart Simpang Ampat di sini, menyasarkan kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung dari seluruh utara tanah air.

Penganjur bersama program Muhammad Fadzli Roslan berkata karnival julung kali diadakan itu merupakan anjuran Anwar Ibrahim Club (AIC) bersama Persatuan Kebajikan dan Pembangunan Sahsiah (SAHSIAH), Persatuan Kebajikan Muafakat Bersaudara serta kerjasama Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Harmoni Bukit Mertajam dan Pertubuhan Penggerak Nadi Muda Pulau Pinang (PPNM).

“Karnival ini menyasarkan kehadiran pengunjung dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan utara Perak khususnya daripada golongan komuniti belia dan anak muda sebab itu kita namakan ia sebagai Karnival Gen-AI. 

“Menerusi karnival ini pelbagai aktiviti diadakan bagi menarik kehadiran anak muda antaranya pameran agensi kerajaan, karnival kerjaya, pertandingan e-sukan dan Muay Thai serta dimeriahkan lagi dengan persembahan konsert daripada artis-artis tempatan pada sebelah malam,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

Barisan artis yang akan membuat persembahan antaranya ialah kumpulan lawak Senario, Floor 88, Suffian Suhaimi dan Khalifah.

Muhammad Fadzli berkata hari pertama karnival itu yang bermula 3 petang mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung dengan orang ramai dilihat berpusu-pusu beratur untuk mendapatkan topi keledar baharu yang diberikan secara percuma menerusi program pertukaran topi keledar oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Difahamkan sebanyak 1,000 topi keledar diedarkan dengan orang ramai perlu membawa topi keledar lama untuk ditukarkan dengan yang baharu.

Beliau berkata karnival kerjaya akan diadakan esok bermula 10 pagi melibatkan penyertaan 13 buah syarikat dan mereka yang masih mencari pekerjaan digalakkan untuk datang membawa bersama resume.

Muhammad Fadzli berkata pihaknya merancang untuk mengadakan siri jelajah karnival itu ke negeri-negeri lain selepas ini bagi mendekati lebih ramai lagi belia menerusi program yang diatur.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan