AM

PENGESANAN AWAL KANSER PENTING, RAKYAT MALAYSIA DIGESA LAKUKAN SARINGAN BERKALA

21/06/2024 10:00 PM

PETALING JAYA, 21 Jun (Bernama) -- Rakyat Malaysia digalakkan melakukan saringan awal kanser (ujian penanda CA) sekurang-kurangnya setiap enam bulan atau sekali setahun untuk membantu mengesan penyakit itu di peringkat awal.

Pengasas bersama dan Pengarah BAdipoLABs Healthcare (M) Sdn Bhd Isaac R. Joseph berkata pemeriksaan awal adalah penting bagi membantu individu mendapatkan rawatan perubatan yang betul dan perlu untuk mencegah penyakit itu di peringkat awal.

"Pengesanan awal akan memudahkan sesuatu penyakit dirawat terutama kanser. (Selalunya) Anda hanya (akan) tahu (anda) menghidap kanser (hanya) di peringkat akhir apabila merasakan ada yang tidak kena dengan badan anda. Pada ketika itu, semuanya sudah terlambat," katanya kepada Bernama pada Kongres Kanser Kebangsaan Malaysia (NCCM) 2024 di Universiti Sunway di sini hari ini.

Beliau turut meluahkan kebimbangan mengenai situasi kanser yang mencemaskan di Malaysia, merujuk kepada kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bahawa kes telah meningkat sebanyak 46.5 peratus sepanjang 2017 hingga 2021 berbanding dari 2012 hingga 2016.

Isaac berkata semua pihak perlu memainkan peranan dalam menghentikan peningkatan kes kanser dalam negara dan menyifatkan situasi penyakit itu lebih teruk berbanding COVID-19 di Malaysia.

"Kita harus kembali kepada asas: hirup udara bersih, ambil makanan sihat, lakukan senaman yang baik dan kurangkan tekanan. Semua ini menyumbang kepada (pencegahan dan kawalan) kanser. Mengenai puncanya, beberapa kajian menunjukkan tekanan dan gaya hidup adalah dua daripadanya. Sesetengah kes berpunca daripada genetik. Kadar bagi kanser payudara dan kanser paru-paru ketika ini amat tinggi.

"Seperti yang dinyatakan oleh Dr Dzulkefly, merokok menyumbang kepada kanser paru-paru dan terdapat peningkatan dalam jumlah pesakit wanita yang didiagnosis dengan kanser payudara, kanser serviks serta jenis lain. Selain itu, golongan lelaki mengalami peningkatan kadar kanser pankreas dan prostat," katanya.

Mengenai inisiatif kerajaan untuk menguatkuasakan sepenuhnya Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) sebagai respons kepada peningkatan penggunaan e-rokok dalam kalangan belia, Isaac menekankan kepentingan pendekatan ini dan menyokong pelaksanaannya secepat mungkin.

Beliau berkata ini adalah pendekatan yang harus dipuji untuk mencegah peningkatan penyakit kanser paru-paru kerana e-rokok dan vape memberikan kesan advers kepada paru-paru.

Terdahulu, pada NCCM 2024, Dr Dzulkefly berkata kanser paru-paru adalah kanser ketiga paling biasa di Malaysia di mana 95 peratus daripada kes telah didiagnosis pada peringkat akhir iaitu tahap tiga dan empat.

Beliau juga berkata Malaysia kini berusaha membangunkan Inisiatif Kesihatan Paru-Paru sebagai sebahagian daripada Pelan Strategik Kebangsaan bagi Program Kawalan Kanser 2021-2025, yang membabitkan sektor awam, swasta dan ketiga yang berganding bahu untuk mencegah dan mengawal kanser paru-paru di negara ini.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan