AM

HERET PENCURI AIR KE MAHKAMAH - HAJIJI

19/06/2024 11:51 PM

KOTA KINABALU, 19 Jun (Bernama) -- Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mengarahkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) untuk menggunakan undang-undang di bawah bidang kuasanya bagi menghadapkan pesalah pencuri air ke mahkamah.

“ Tangkap dan dakwa mereka di mahkamah," katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat pasca Kabinet Jabatan Ketua Menteri hari ini.

Begitu juga, beliau berkata kilang-kilang  yang didapati mencuri air mesti dihadapkan ke mahkamah dan bukannya hanya mengeluarkan kompaun.

Katanya tindakan tegas mesti diambil terhadap mereka yang mencuri air kerana sambungan haram telah dikenal pasti sebagai punca utama 60 peratus air tidak terhasil (NRW) di Sabah, yang tertinggi di negara ini.

Menurutnya Kabinet negeri telah memanggil jabatan air untuk taklimat susulan demonstrasi satu kumpulan termasuk pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) menuntut isu air itu diselesaikan.

Hajiji juga berkata Kabinet negeri telah dimaklumkan bahawa dalam tempoh dua bulan lepas, UMS hanya mengalami gangguan bekalan air selama satu atau dua hari akibat paip pecah.

Katanya dalam tempoh itu, JANS membekalkan antara empat juta hingga tujuh juta liter air setiap hari kepada UMS sebagai tambahan kepada satu juta liter air yang disediakan oleh tiub telaga.

“ Saya telah meminta Naib Canselor UMS meneliti perkara itu bagi mengetahui punca air tidak sampai kepada pelajar,” katanya.

Menurutnya, Kabinet dimaklumkan bahawa bekalan air ke UMS semakin berkurangan berikutan banyak sambungan haram dikesan dari lima perkampungan terletak di belakang UMS iaitu di atas tanah yang menjadi pertikaian antara mereka yang menduduki tanah dan pemilik tanah.

“Sebab itu saya mahu pihak penguat kuasa jabatan air pergi dan putuskan sambungan haram ini selain ambil tindakan tegas terhadap pesalah.

"Mungkin, jabatan air boleh memasang tangki 500 liter di tapak dan mengenakan bayaran kepada penduduk di situ. Ini akan menghalang mereka daripada menyambung paip semula secara haram ke saluran air," katanya.

Beliau memberikan jaminan bahawa tanggungjawab kerajaan negeri adalah membekalkan air dan pelbagai usaha dilakukan, sekali gus bertentangan dengan dakwaan pihak pembangkang.

Hajiji berkata usaha sedemikian termasuk Loji Rawatan Air Telibong II boleh menyediakan tambahan 160 MLD (juta liter sehari) untuk menampung bahagian utara Sabah termasuk UMS dan kawasan sekitarnya, sebaik pemasangan paip air siap.

"Selain itu, kerja-kerja meningkatkan bekalan air di bahagian selatan Pantai Barat yang memberi manfaat kepada penduduk di Papar, Lok Kawi dan Putatan telah pun bermula lapan bulan lalu dan dijangka siap menjelang 2026," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan