EKONOMI

MALAYSIA LIHAT HUBUNGAN DENGAN CHINA MENERUSI LENSA STRATEGIK MENYELURUH - PM ANWAR

19/06/2024 09:46 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia melihat hubungan dengan China bukan setakat dua hala, tetapi menerusi lensa strategik yang menyeluruh.

Beliau percaya menjadi kepentingan strategik Malaysia untuk menjalin persahabatan dan kerjasama dengan China, dan bukan sebaliknya.

“Kita berusaha sedaya upaya untuk melibatkan China secara diplomatik dan menyepadukannya ke dalam hal ehwal serantau kerana ia penting untuk masa depan kita bersama,” katanya semasa majlis makan malam sempena Sambutan Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik antara Malaysia dan China, hari ini.

Anwar berkata hubungan perdagangan kukuh yang menyaksikan China menjadi rakan dagang terbesar Malaysia sejak 15 tahun lalu, menunjukkan kepentingan mendalam hubungan ekonomi antara kedua-dua negara. 

“Memandangkan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) memangkin peningkatan kesalinghubungan dan kerjasama antarabangsa, inisiatif ‘Dua Negara, Taman Berkembar’ memberikan rangsangan ekonomi yang luar biasa khususnya di wilayah Pantai Timur Malaysia,” kata Perdana Menteri.

Selain itu, kata beliau, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) turut menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan dan penciptaan peluang pekerjaan.

“Mengukuhkan hubungan dengan China bukan tentang keuntungan jangka pendek, ia untuk menjamin kepentingan jangka panjang bagi Malaysia.

"Apa yang saya lakukan adalah untuk menjadikan Malaysia negara yang dihormati di peringkat global, yang mana pencapaian kita bukan hanya bersifat sementara tetapi kekal bertahan hingga generasi akan datang," kata beliau.

Anwar berkata Kerajaan MADANI akan bekerjasama rapat dengan rakan-rakan Malaysia di seluruh dunia untuk menggapai impian ini dan ia merupakan sebab mengapa hubungan dengan China dan Presiden Xi Jinping adalah luar biasa dan menonjol.

Justeru, beliau menyeru semua rakyat Malaysia serta rakan sejawat di China untuk menjadi lebih berani dan bijaksana serta mencipta era baru hubungan antara kedua-dua negara yang telah erat terjalin sejak sekian lama.

Beliau berkata dari segi ekonomi, hari ini China menyumbang 18 peratus daripada pengeluaran ekonomi global.

Pada suku pertama 2024, perdagangan Malaysia dengan China meningkat kepada RM112.28 bilion daripada RM108.66 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas. 

Perdana Menteri China Li Qiang tiba di Malaysia pada Selasa untuk memulakan lawatan rasmi beliau ke negara ini yang akan berakhir esok. Ini merupakan lawatan sulung beliau ke negara ini sejak memegang jawatan itu pada Mac 2023. 

Lawatan beliau juga bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China susulan pemeteraian Penyataan Bersama antara perdana menteri kedua Malaysia Tun Abdul Razak Hussein dan Perdana Menteri China ketika itu, Chou En Lai pada 31 Mei, 1974.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan