AM

PM ANWAR PUJI HUBUNGAN PROGRESIF MALAYSIA – CHINA SEMPENA JUBLI EMAS

19/06/2024 07:59 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Konsep Malaysia MADANI dan visi China Community for a Shared Future for Mankind mencerminkan matlamat bersama kedua-dua negara untuk keamanan, keselamatan dan kemakmuran buat semua, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata prinsip pembangunan tamadun iaitu hormat-menghormati, keterangkuman dan empati, yang lazim bagi Malaysia dan China, membentuk pendekatan kedua-dua negara terhadap tadbir urus, kemajuan dan kerjasama global.

Anwar berkongsi ulasan ini dalam mesej yang dipaparkan dalam buku mewah – Ties that Bind – yang diterbitkan bagi memperingati ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China. Kedua-dua negara itu telah menjalin hubungan diplomatik pada 31 Mei 1974.

"Adalah jelas, dalam apa jua ukuran, bahawa hubungan hari ini ialah hubungan yang moden dan dinamik, dibina atas asas kepercayaan dan hormat-menghormati," katanya sambil mengucapkan tahniah kepada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) kerana menerbitkan buku berkenaan.

Ties that Bind ialah penerbitan dwibahasa iaitu bahasa Inggeris – bahasa Cina setebal 174 halaman, dihasilkan dengan kerjasama Kementerian Luar.

Dalam mesejnya, Anwar juga memuji pandangan jauh Perdana Menteri kedua yang berwawasan, Tun Abdul Razak Hussein, kerana menjadikan Malaysia negara pertama di rantau Asia Tenggara yang menjalin hubungan diplomatik dengan China.

"Keterbukaan ini sentiasa mencirikan dasar luar Malaysia, membolehkan kita menjadi antara yang terawal menyertai Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI)," katanya sambil menyambut baik usaha China untuk memenuhi keperluan infrastruktur global dan menyelaraskannya dengan keperluan ketersambungan Malaysia.

Dari segi ekonomi, Anwar berkata, "hubungan perdangangan kita ialah ringkasan kepada trajektori luar biasa pembangunan ekonomi sepanjang lima dekad yang lepas.

"Apabila jumlah perdagangan meningkat, begitu juga dengan kerumitan barangan yang dieksport dan diimport antara Malaysia dan China – daripada getah dan beras, yang melambangkan ekonomi pertanian kita ketika itu, kepada elektrik dan elektronik, simbolik kepada kemodenan industri pada abad ke-21.

"Hari ini, usaha bersama kita dalam meneroka ekonomi digital, beralih kepada tenaga boleh baharu, dan menginovasikan teknologi tinggi menggambarkan etos progresif kerjasama moden kita.

"Kerjasama dalam bidang berkenaan menjanjikan lebih banyak hubungan ekonomi dan laluan pembangunan lebih mampan, menempatkan kedua-dua negara untuk memanfaatkan peluang masa hadapan," kata beliau.

Ties that Bind juga merangkumi mesej daripada Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Duta China ke Malaysia Ouyang Yujing dan Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai.

Buku itu menerusi teks dan gambar, menyampaikan pertukaran penting antara pemimpin dan rakyat kedua-dua negara serta pertumbuhan hubungan politik, ekonomi, budaya, sosial, sukan dan pelancongan antara dua negara bagi tempoh 50 tahun lepas.

Buku berkenaan turut diserahkan kepada Perdana Menteri China Li Qiang pada majlis makan malam bersempena dengan ulang tahun ke-50 jalinan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China, malam ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan