AM

SULTAN SELANGOR DAN SULTAN PERAK AKAN MENYERIKAN RWMF 2024

19/06/2024 04:15 PM

KUCHING, 19 Jun (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dijangka berkenan berangkat ke Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF 2024) yang dijadualkan dari 28 hingga 30 Jun di Kampung Budaya Sarawak di sini.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata Unit Protokol, Upacara dan Pengurusan Acara Sarawak dengan kerjasama Polis dan agensi keselamatan lain akan bersedia sepenuhnya untuk kehadiran tetamu diraja.

"Keselamatan secara konsisten menjadi keutamaan bagi semua acara kami. Dengan kehadiran tetamu diraja tahun ini, langkah keselamatan akan dipertingkatkan untuk memastikan pemeriksaan menyeluruh terhadap tempat dan pengunjung festival," katanya kepada pemberita selepas majlis Hari Penghargaan Penaja RWMF 2024 di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Sharzede Salleh Askor berkata pengunjung festival dinasihat menggunakan perkhidmatan bas ulang-alik yang disediakan untuk menggalakkan kelestarian dan mengurangkan pelepasan karbon.

"Perkhidmatan bas ulang-alik adalah senang dan mudah diakses, pemegang tiket festival boleh menaikinya di Plaza Merdeka dan Hotel Riverside Majestic secara percuma dengan mengemukakan tiket mereka. Bas itu akan menurunkan penumpang terus di Kampung Budaya Sarawak," tambah beliau.

Terdahulu, Ting menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara STB yang diwakili Sharzede dan Malaysia Aviation Group (MAG) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Ahmad Luqman Mohd Azmi.

MoU itu bertujuan untuk sinergi dalam usaha mempromosi pelancongan, menyumbang ke arah matlamat Malaysia mencapai lebih 35.6 juta ketibaan pelancong menjelang 2026 dan menggiatkan semula pasaran pelancongan antarabangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan