AM

PENYASARAN SUBSIDI DIESEL : PANTAU MEDIA SOSIAL ELAK SEBAR MAKLUMAT PALSU - EXCO

19/06/2024 09:27 AM

IPOH, 19 Jun (Bernama) -- Kerajaan Perak akan meminta agensi berkaitan untuk memantau platform media sosial, bagi memastikan tiada sebaran maklumat palsu dilakukan berikutan penyasaran subsidi diesel kata Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Mohd Azlan Helmi.

“Walaupun ada kebebasan bersuara tetapi tidak boleh bawa unsur fitnah dan sebagainya. Fakta  perlu dibahas dengan fakta. Tak boleh dibahas dengan imaginasi ataupun elemen yang personal dan berorientasikan pihak tertentu.

“Tindakan tegas akan diambil dalam membendung unsur atau gejala ini. Bukan nak menghukum, tapi untuk mendisplinkan masyarakat supaya menyalurkan maklumat yang betul,” katanya selepas merasmikan Pertandingan Muaythai Peringkat Antarabangsa di Dewan Tokong Penganut-Penganut Huat Tian Keong di sini, malam tadi.

Sementara itu Mohd Azlan berkata pihaknya turut menyarankan orang ramai berhati-hati serta membuat pertimbangan sewajarnya, dalam memahami tindakan dilakukan kerajaan berhubung penyasaran tersebut.

“Apa yang dilakukan kerajaan ini sebenarnya untuk mencegah penyeludupan dan mengembalikan semula subsidi itu kepada perkara yang lebih mustahak terutama dalam aspek pembangunan, kesihatan dan pendidikan,” katanya.

Azlan berkata individu yang berkelayakan namun gagal untuk mendapatkan bantuan subsidi diesel tersebut, boleh mengemukakan rayuan beserta bukti kepada agensi berkaitan.

Pada 9 Jun, kerajaan mengumumkan harga runcit bahan api diesel ditetapkan RM3.35 seliter bermula semalam (10 Jun) di Semenanjung manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan pula kekal pada RM2.15 seliter.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan