DUNIA

BRICS BERI RUANG UNTUK MALAYSIA PELBAGAIKAN HUBUNGAN STRATEGIK

18/06/2024 07:36 PM

Oleh Rohani Mohd Ibrahim

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Penyertaan Malaysia ke dalam BRICS akan membolehkan ia mempelbagaikan lagi hubungan strategiknya, menjadikan suara negara didengar dalam perbincangan yang melibatkan kuasa utama, sama ada yang sedang muncul atau sebaliknya.

Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS), Datuk Prof Dr. Mohd Faiz Abdullah berkata sama ada ia berkaitan promosi perdagangan, pembiayaan pembangunan melalui New Development Bank (NDB), ataupun pengaturan mata wang baharu, adalah penting untuk Malaysia berada di meja BRICS.

“Membina hubungan dengan negara-negara utama ini akan menjadikan ekonomi kita lebih berdaya tahan,” katanya ketika dihubungi Bernama bagi mengulas hasrat Malaysia menyertai BRICS, akronim yang merujuk kepada blok yang pada asalnya terdiri daripada ekonomi negara-negara sedang memuncul seperti Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam satu wawancara dengan media China Guancha yang diterbitkan pada Isnin, berkata Malaysia telah menyatakan hasrat untuk menyertai kumpulan BRICS dan akan memulakan proses untuk menyertainya tidak lama lagi.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Mohd Faiz berkata hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS tidak sepatutnya ditafsirkan sebagai peralihan daripada hubungan tradisi lama negara ini, termasuk dengan negara-negara Barat.

Beliau berkata Selatan Global adalah realiti strategik yang tidak boleh diabaikan, dan langkah sedemikian bukanlah mainan zero-sum.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menegaskan pada pelbagai kesempatan, dalam tradisi diplomasi terbaik kita, Malaysia akan berusaha untuk memanfaatkan kelebihan antara pelbagai hubungan kita,” katanya.

Menurut Mohd Faiz, menyertai BRICS adalah kelangsungan semula jadi kepada usaha semasa Malaysia untuk memajukan agenda Selatan Global.

BRICS, yang pada asalnya ditubuhkan pada tahun 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi negara-negara memuncul, menyaksikan Iran, Mesir, Ethiopia, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyertai kumpulan ini sebagai ahli baharu pada Januari 2024.

Pengumuman Malaysia untuk menyertai BRICS dibuat beberapa minggu selepas Thailand menyatakan kesediaannya untuk menjadi ahli blok itu.

Menurut laporan Agensi Anadolu, Menteri Luar Thailand Maris Sangiampongsa, dalam kenyataannya semasa pertemuan dengan rakan sejawatnya dari China Wang Yi, di luar Sidang Kemuncak Menteri Luar BRICS di bandar Nizhny Novgorod, Rusia, berkata Thailand bersedia untuk menyertai mekanisme BRICS secepat mungkin.

Berita mengenai hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS juga telah mencetuskan reaksi daripada pemerhati politik tempatan dan antarabangsa di platform media sosial.

Seorang pengguna platform X, Jonathan Rodriguez berkata keputusan Malaysia boleh memberi impak yang signifikan terhadap ekonomi global dan geopolitik.

“Menyertai BRICS akan meningkatkan peluang perdagangan dan pelaburan, meningkatkan pengaruh geopolitik Malaysia, dan mengubah dinamik serantau di Asia Tenggara. Langkah ini juga mungkin menyokong usaha BRICS untuk membangunkan sistem kewangan alternatif dan menguatkan suara Selatan Global,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan