AM

JAMBATAN BAHARU SUNGAI BABAGON BERNILAI RM16.8 JUTA MANFAATKAN 6,000 PENDUDUK - EWON

18/06/2024 05:39 PM

PENAMPANG, 18 Jun (Bernama) -- Sebuah jambatan baharu yang bakal dibina di Sungai Babagon di sini dengan kos berjumlah RM16.8 juta memanfaatkan kira-kira 6,000 penduduk kampung apabila siap kelak, kata Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata jambatan konkrit sepanjang 90 meter itu dijadual siap dalam tempoh dua tahun seperti ditetapkan Jabatan Kerja Raya.

“Jambatan berkenaan merupakan projek infrastruktur yang dinanti-nantikan penduduk kawasan Babagon khususnya yang terlibat dalam mengangkut hasil pertanian, berulang-alik ke tempat kerja serta menghantar anak-anak ke sekolah.

“Inisiatif kerajaan ini merupakan sumbangan yang berharga kepada masyarakat setempat dan saya yakin akan memberikan kelebihan buat penduduk,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah pembinaan jambatan itu di sini hari ini.

Beliau berkata jambatan terbabit turut memanfaatkan penduduk kampung yang kebanyakannya petani dengan mengusahakan tanaman serai dan lengkuas dalam memasarkan hasil tanaman masing-masing.

Ewon berkata beliau juga telah memperuntukkan dana berskala kecil daripada kementeriannya untuk projek tertentu termasuk menaik taraf Tamu Babagon melibatkan kos RM300,000 bagi meningkatkan keusahawanan di kawasan itu.

Beliau juga menggalakkan petani untuk menubuhkan atau menyertai koperasi bagi memperkasakan ekonomi, perpaduan sosial dan pembangunan mampan dalam kalangan mereka dan masyarakat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan