AM

POLIS DALAM PROSES LENGKAPKAN SIASATAN KEMALANGAN BAS BAWA GURU

18/06/2024 03:59 PM

KUANTAN, 18 Jun (Bernama) -- Polis Pahang sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung tragedi kemalangan melibatkan bas persiaran dan treler di Jalan Kuantan-Segamat, Rompin pada 9 Jun lepas yang mengakibatkan empat maut.

Pemangku Ketua Polis Pahang DCP Datuk Noor Hisam Nordin berkata buat masa ini pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat sebelum kertas siasatan diserahkan kepada pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut. 

“Kes masih lagi dalam tindakan dan kita telah pun merujuk pejabat Timbalan Pendakwa Raya minggu lepas dan kita juga telah terima arahan untuk merujuk kepada pejabat Peguam Negara.

“Cuma, kita masih lagi menunggu laporan bedah siasat untuk meneruskan pertuduhan di mahkamah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata buat masa ini tiada tangkapan dibuat dan pemandu bas berkenaan telah tampil memberikan keterangan pada polis. 

Dalam nahas itu, empat maut manakala 35 cedera selepas bas yang dalam perjalanan membawa rombongan Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka ke Terengganu untuk menghadiri suatu program terbabit dalam kemalangan.

Mangsa yang maut ialah Penolong Kanan Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram Hasnatul Adilah Hassan, 48, pemandu bas kedua Hadi Asyraf Mad Idris, 29, pembantu operasi sekolah terbabit Hamzah Ahmad, 60, dan guru, Dahlia Ahmad, 52.

Bas tersebut dilaporkan terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan merempuh sebuah treler yang membawa muatan gelung besi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan