AM

PENURUNAN HARGA TELUR: PENGGUNA SABAH, SARAWAK LEGA, KURANGKAN KOS PERBELANJAAN

18/06/2024 02:22 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Penurunan harga runcit telur ayam gred A, B dan C sebanyak tiga sen sebiji yang berkuat kuasa semalam memberi kelegaaan kepada penduduk di Malaysia Timur.

Di SABAH, Pengerusi Yayasan Pengguna Negara Malaysia negeri David Chan berkata rakyat hari ini khususnya golongan B40 masih bergantung kepada sumber telur dan ayam sebagai makanan harian dan pasti akan membebankan mereka jika harga diapung kepada pasaran bebas.

Selain itu, para peniaga berkaitan produk ayam dan telur juga akan terbeban untuk beroperasi melainkan terpaksa menaikkan harga sekali gus menjejaskan jualan. 

"Hari ini sumber telur dan ayam amat rapat dengan kehidupan dan kita bimbang jika harganya tidak dikawal akan menyebabkan banyak pihak terjejas memandangkan ramai masih berdepan pelbagai isu kenaikan harga barang dan kos sara hidup.

“Ini (penurunan harga runcit telur) sedikit sebanyak dapat membantu rakyat menjalani kehidupan harian," katanya mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai perkara itu semalam. 

Berdasarkan pengumuman itu, harga runcit baharu bagi telur ayam gred A, B dan C masing-masing ditetapkan 42 sen, 40 sen dan 38 sen sebiji, berkuat kuasa semalam. 

Di SARAWAK, Presiden Persatuan Suara Konsumer Sarawak (Covas) Michael Tiong menyifatkan penurunan sebanyak tiga sen itu sebagai isyarat positif berkenaan kepekaan kerajaan terhadap keperluan asas rakyat dan kesediaan untuk meringankan beban mereka. 

Menurut beliau, langkah penurunan harga telur memberikan kesan positif kepada penggunaan sekali gus mampu menstabilkan harga barang keperluan asas lain dengan memberi penekanan kepada peniaga untuk tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya.

"Jika peniaga masih menaikkan harga barang, kerajaan harus mengambil tindakan tegas untuk memastikan bahawa penurunan harga yang diumumkan benar-benar sampai kepada rakyat," katanya kepada Bernama di sini.

Suri rumah Zihani Ismawi, 35, yang juga pengusaha karipap sejuk beku berkata pengurangan harga telur dapat membantu mengurangkan beban kos harian dan meningkatkan daya beli terutama golongan yang bergantung kepada telur sebagai sumber protein.

Selain itu, pengusaha kek Winnie Elyse, 49, berkata pengurangan harga itu memberi kelegaan memandangkan telur sebagai bahan utama dalam pembuatan kek dan sebarang kenaikan akan memberikan impak besar dari segi kos pengeluaran modal perniagaan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan