EKONOMI

MALAYSIA TERBUKA SERTAI BLOK EKONOMI BRICS, BAWA MANFAAT EKONOMI

18/06/2024 03:47 PM

SHAH ALAM, 18 Jun (Bernama) — Malaysia terbuka untuk menyertai blok ekonomi organisasi antara kerajaan, Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS) yang boleh membawa pelbagai manfaat ekonomi kepada negara, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Organisasi BRICS juga, kata beliau, dilihat berkembang dengan lancar pada masa ini dengan beberapa negara seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Mesir juga telah menyertainya.

Negara jiran, Thailand yang juga anggota ASEAN, turut menyatakan minat dan telah memulakan proses untuk menyertai BRICS.

“Kita akan tunggu untuk mulakan perbincangan selanjutnya mengenai BRICS seperti dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata beliau selepas melancarkan kilang pemasangan Chery Malaysia di sini, hari ini.

Anwar pada Isnin menyatakan bahawa Malaysia akan memulakan prosedur rasmi untuk menyertai blok ekonomi BRICS tidak lama lagi.

BRICS yang ditubuhkan pada 2009, berperanan sebagai platform kerjasama untuk ekonomi sedang pesat membangun yang merangkumi Brazil, Rusia, India dan China manakala Afrika Selatan menyertai kumpulan ini pada 2010.

Malah, BRICS kini menyumbang satu perempat daripada ekonomi global, merangkumi satu perlima daripada perdagangan global dengan populasi mewakili kira-kira 40 peratus penduduk dunia.

— BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan