DUNIA

BURSA MALAYSIA DIBUKA MENINGKAT DIPACU AKTIVITI BURU SAHAM HARGA RENDAH

18/06/2024 10:36 AM

Oleh Rosemarie Khoo

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia memulakan dagangan minggu ini dengan lebih positif, didorong oleh aktiviti memburu saham-saham berharga rendah susulan fasa konsolidasi dalam beberapa sesi sebelumnya, kata penganalisis.

Pada 9.05 pagi, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 4.26 mata kepada 1,611.58 berbanding 1,607.32 pada akhir dagangan Jumaat lepas.

FBM KLCI dibuka naik 2.07 mata pada 1,609.39.

Kaunter untung mendahului rugi iaitu 340 berbanding 170 manakala 383 kaunter tidak berubah, 1,507 tidak diniagakan dan enam yang lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 275.18 juta unit bernilai RM132.59 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks penanda aras itu dijangka bergerak dalam julat 1,610 hingga 1,620 mata pada dagangan hari ini.

"Prospek korporat Malaysia juga semakin positif susulan semakan menaik secara meluas dalam pertumbuhan pendapatan kepada 8.2 peratus bagi 2025 selepas mencatat pertumbuhan 16.1 peratus bagi tahun ini," kata Thong kepada Bernama.

Sementara itu, Wall Street ditutup lebih tinggi didorong terutamanya oleh pembelian susulan minggu lepas dengan S&P 500 mencecan paras tertinggi baharu.

Ketika peniaga menunggu data jualan runcit AS terkini hari ini, Purata Perindustrian Dow Jones (DJIA) memperoleh 189 mata manakala Nasdaq meningkat 168 mata apabila hasil 10 tahun AS meningkat lebih tinggi pada 4.28 peratus.

Di Hong Kong, Indeks Hang Seng mengakhiri keuntungan awal apabila aktiviti pengambilan untung berlaku ketika data ekonomi China mencatat prestasi bercampur-campur.

Dalam pada itu, harga minyak mentah melonjak semula selepas aliran harga minyak mentah Brent menghampiri US$85 setong, disokong oleh prospek permintaan yang bertambah baik.

Saham wajaran tinggi tempatan menyaksikan YTL Power dan Telekom Malaysia masing-masing naik 13 sen kepada RM5.41 dan RM6.65, Sime Darby menokok 3.0 sen kepada RM2.56, IOI Corporation meningkat 4.0 sen kepada RM3.81 dan IHH meningkat 5.0 sen kepada RM6.30. 

Bagi kaunter rugi, Nestle susut 90 sen kepada RM123.30, Dutch Lady turun 38 sen kepada RM37.42, Allianz susut 14 sen kepada RM21.88, United Plantations berkurangan 10 sen kepada RM23.90 dan Unisem susut 9.0 sen kepada RM4.28. 

Kaunter paling aktif menyaksikan Divfex menambah setengah sen kepada 20.5 sen, Harvest Miracle Capital meningkat 1.0 sen kepada 10.5 sen, K-One Technology naik 3.0 sen kepada 30 sen, ATA IMS naik 10 sen kepada 44.5 sen dan MYEG menambah 2.0 sen kepada RM1.07. 

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas menokok 33.56 mata kepada 12,420.01, Indeks FBMT 100 naik 29.77 mata kepada 11,977.56 dan Indeks FBM Emas Shariah meraih 36.10 mata kepada 12,763.59.

Indeks FBM 70 meraih 37.68 mata kepada 18,188.50 manakala Indeks FBM ACE naik 40.80 mata kepada 5,943.28.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 18.52 mata kepada 17,597.65, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.23 mata kepada 200.62, Indeks Tenaga naik 8.01 mata kepada 995.91 dan Indeks Perladangan menambah 26.37 mata kepada 7,034.87.

Bursa Malaysia ditutup pada Isnin sempena sambutan Aidiladha.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan