AM

JABATAN PERKHIDMATAN VETERINAR LABUAN LULUS 247 TERNAKAN UNTUK IBADAH KORBAN

17/06/2024 03:42 PM

LABUAN, 17 Jun (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Veterinar Labuan meluluskan 247 ternakan untuk ibadah korban bersempena dengan Aidiladha di pulau bebas cukai itu.

Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Labuan Dr Larry David berkata kebanyakan ternakan itu diperoleh dari Sabah, manakala selebihnya dibekalkan oleh Ladang Sittha di sini.

"Ternakan yang diluluskan untuk ibadah korban antaranya ialah 130 ekor lembu dan 94 ekor kambing," katanya kepada Bernama.

David berkata kelulusan itu dikeluarkan lebih awal sebelum sambutan Aidiladha bagi memastikan ibadah korban berjalan lancar, manakala permit diberikan untuk melakukan korban di luar rumah penyembelihan termasuk masjid dan kawasan perumahan.

"Kami memastikan semua permit ibadah korban dikeluarkan seminggu sebelum perayaan untuk membolehkan persiapan dilakukan.

"Semua pihak berkuasa berkaitan seperti Jabatan Kesihatan dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah menetapkan peraturan ketat yang mesti dipatuhi semua penganjur," katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di beberapa masjid mendapati ibadah korban dijalankan dengan lancar dengan penyertaan masyarakat setempat, dan daging korban juga diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

Ahli Parlimen Labuan Datuk Dr Suhaili Abd Rahman berkata ibadah korban di Labuan mengekalkan tradisi sambil mematuhi garis panduan ditetapkan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan