AM

MAHASISWA PERLU RASIONAL DALAM MENDEPANI, MEMPERJUANG ISU BABITKAN RAKYAT SABAH - MUSTAPHA

16/06/2024 07:35 PM

KOTA KINABALU, 16 Jun (Bernama) -- Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud mengingatkan mahasiswa supaya bersikap rasional dalam mendepani dan memperjuangkan sebarang isu membabitkan Sabah serta rakyatnya.

Sebagai rakyat Sabah, beliau memahami perjuangan itu namun menasihati mahasiswa supaya menilai sebaiknya dan berfikir panjang sebelum melakukan sebarang tindakan untuk memperjuangkan sesuatu isu seperti masalah bekalan air.

Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata seperti himpunan #KamiMahuAir Sabah baru-baru ini, beliau telah mengingatkan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah yang terlibat supaya memohon permit Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan berhimpun secara aman namun apa terjadi adalah sebaliknya.

“Mereka bawa bukan warganegara dalam perjuangan melibatkan isu rakyat Sabah. Saya terkejut dan saya tidak jangka perkara ini berlaku dan melibatkan mahasiswa kita.

“Bukan kita menghalang mereka untuk berhimpun, buat permit buatlah secara aman dengan penuh rasional,” katanya kepada pemberita pada Sambutan 25 Tahun PKR dan Pesta Kaamatan PKR Sabah di sini hari ini.

Majlis anjuran Pengerusi Pakatan Harapan Sabah Datuk Christina Liew selaku Ketua Cabang PKR Api-Api itu dirasmikan oleh Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Mustapha hadir selaku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah.

Semalam, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda berkata sembilan individu yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri ditahan PDRM ketika menyertai perhimpunan #KamiMahuAir Sabah pada Jumaat lepas.

Mustapha berkata beliau menyerahkan kepada pihak PDRM untuk menyiasat perkara itu dan menegaskan mahasiswa yang terlibat perlu bertanggungjawab terhadap tindakan mereka dalam isu tersebut.

Beliau berkata kerajaan sentiasa mendengar keluhan mahasiswa dan usaha sedang dilakukan bagi mengatasi masalah bekalan air di universiti itu namun mengingatkan mahasiswa supaya tidak menjadi alat pihak tertentu terutama yang melibatkan politik. 

Sementara itu, Kasim ketika dihubungi berkata PDRM sedang melengkapkan kes itu mengikut Akta Perhimpunan Aman dan akan memanggil pihak yang terlibat bagi membantu siasatan.

“Setakat ini kita tunggu kertas siasatan selesai dahulu sebelum ambil apa-apa tindakan lanjut, kita teliti dahulu dan kita akan panggil mereka terlibat untuk bantu siasatan,” katanya sambil menambah sembilan individu yang ditahan tanpa dokumen pengenalan diri disiasat mengikut Akta Imigresen.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan