DUNIA

KERJASAMA CHINA-AUSTRALIA BOLEH MERENTASI PASIFIK, ATASI PERBEZAAN -- PM CHINA

16/06/2024 07:10 PM

ADELAIDE, Australia, 16 Jun (Bernama-Xinhua) -- Perdana Menteri China Li Qiang berkata pada Ahad bahawa selagi kedua-dua pihak saling menghargai, kerjasama antara China dan Australia boleh merentasi Lautan Pasifik, mengatasi perbezaan dan mencapai kejayaan bersama, lapor Xinhua.

Beliau membuat kenyataan itu ketika melawat Zoo Adelaide bagi kerjasama China-Australia dalam perlindungan dan penyelidikan panda.

Beliau diiringi Gabenor Australia Selatan Frances Adamson, Ketua Menteri Australia Selatan Peter Malinauskas, Menteri Luar Negeri Australia Penny Wong dan Menteri Perdagangan dan Pelancongan Don Farrell.

Zoo Adelaide, satu-satunya zoo Australia yang menempatkan sepasang panda gergasi, Wang Wang dan Fu Ni di Hemisfera Selatan.

Li berpuas hati dengan kesejahteraan mereka di Australia, sambil menyoroti peranan panda gergasi itu sebagai duta persahabatan antara kedua-dua negara.

Li turut menekankan bahawa usaha kerajaan China dalam pemuliharaan panda gergasi telah mencapai kemajuan ketara, menyumbang secara positif kepada biodiversiti global dan perlindungan spesies terancam.

Mengenai kepulangan Wang Wang dan Fu Ni ke China berdasarkan perjanjian dua hala, Li menyatakan kesediaan China untuk meneruskan kerjasama dengan Australia dalam perlindungan dan penyelidikan panda.

Beliau turut berharap agar Australia akan kekal sebagai persekitaran yang mesra untuk panda gergasi.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan