EKONOMI

PENYASARAN SUBSIDI DIESEL TIDAK SEHARUSNYA AKIBATKAN KENAIKAN HARGA BARANG - MYDIN

15/06/2024 10:19 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Penyasaran subsidi diesel tidak seharusnya mengakibatkan kenaikan harga barangan, kata Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad Datuk Dr Ameer Ali Mydin.

Beliau berkata ini kerana pengusaha sektor logistik menerima subsidi diesel dan masih membayar harga bahan bakar itu pada kadar RM2.15 seliter.

“Harga barang tidak sepatutnya naik. Di Mydin sendiri kita minta fleet card pasal kita juga (terlibat dalam sektor) pengangkutan (atau logistik). Barang sampai di gudang di Shah Alam, kita pakai lori diesel juga hantar barang hari-hari tapi kita ada fleet card. Kita (masih) bayar (diesel pada harga) RM2.15 (seliter).

“Ramai tanya (harga) barang bila nak naik, saya kata kenapa nak naik sebab kos pengangkutan adalah sama. Jadi kadang-kadang peniaga ini ada yang ambil kesempatan (menaikkan harga barang) bila harga diesel naik,” katanya.

Ameer berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Mydin Mart Pantai Dalam dan penyampaian sumbangan Aidiladha oleh Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil kepada penduduk di kawasan itu hari ini.

Beliau juga berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah menetapkan bahawa peniaga tidak boleh menaikkan harga barang sesuka hati serta perlu memberikan justifikasi sebelum dibenar berbuat demikian.

“Sekarang ini, sebetulnya nak naikkan harga agak susah kerana KPDN ni naik harga 20 sen pun dia minta borang, dia tanya kenapa naik harga, dia kena periksa. Nak naik harga, borang tebal kena hantar kat dia (KPDN),” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan