DUNIA

PERDANA MENTERI CHINA TIBA DI AUSTRALIA BAGI LAWATAN RASMI

15/06/2024 10:01 PM

ADELAIDE (Australia), 15 Jun (Bernama-Xinhua) -- Perdana Menteri China, Li Qiang tiba di Adelaide pada Sabtu bagi lawatan rasmi ke Australia.

Li dan Perdana Menteri Australia Anthony Albanese dijadual bersama-sama mempengerusikan Mesyuarat Pemimpin Tahunan China-Australia kesembilan dan menghadiri Mesyuarat Meja Bulat CEO China-Australia, lapor Xinhua.

Li berkata pertukaran antara China dan Australia mempunyai sejarah yang panjang dan persahabatan antara kedua-dua negara semakin kukuh.

Pada 2014, Presiden China ketika itu Xi Jinping melakukan lawatan bersejarah ke Australia dan kedua-dua negara mewujudkan perkongsian strategik komprehensif, kata Li.

Sejak itu, pertukaran dan kerjasama dalam pelbagai bidang terus dipertingkatkan dan dipercepatkan, manakala faedah bersama dan kerjasama yang saling menguntungkan kekal menjadi arus perdana hubungan dua hala.

Tahun lalu, Albanese melakukan lawatan ke China ketika hubungan dua hala kembali ke landasan yang tepat selepas berdepan pelbagai cabaran.

Sejarah telah membuktikan bahawa menghormati satu sama lain, mencari titik persamaan sambil mengetepikan perbezaan, serta melaksanakan kerjasama yang saling menguntungkan adalah pengalaman berharga dalam hubungan China-Australia yang perlu dikekalkan dan diteruskan, katanya.

Sempena ulang tahun ke-10 perkongsian strategik komprehensif China-Australia, Li berkata beliau berharap dapat bertukar-tukar pandangan dengan pemimpin dan rakan-rakan Australia daripada pelbagai lapisan masyarakat mengenai hubungan kedua-dua negara dan isu-isu yang menjadi perhatian bersama serta membincangkan kerjasama, pembangunan dan persahabatan.

Perkongsian strategik komprehensif China-Australia yang lebih matang, stabil dan berjaya akan menjadi aset bersama untuk kedua-dua negara, kata Li, sambil menambah bahawa China bersedia bekerjasama dengan Australia untuk tujuan itu.

Ini adalah destinasi kedua dalam lawatan tiga negara Li selepas lawatan rasminya ke New Zealand.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan