AM

INSIDEN BALAI POLIS ULU TIRAM: SEMANGAT JUANG SARJAN HASIF KEKAL TEMPUR WALAU CEDERA

15/06/2024 08:14 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Semangat juang sebagai anggota Sang Saka Biru dalam menjaga keselamatan mendorong Sarjan Mohd Hasif Roslan cuba menghentikan insiden tembakan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor meskipun beliau mengalami kecederaan ketika kejadian pada 17 Mei lepas.

Berdepan situasi getir dalam insiden itu, Mohd Hasif yang bertugas di Bahagian Ronda Cegah Jenayah di balai terbabit, meletakkan dirinya dalam bahaya ketika berhadapan penyerang yang sebelum itu telah menetak rakan sepasukannya sehingga meninggal dunia.

Menceritakan semula kejadian itu, Mohd Hasif, 38, berkata beliau segera kembali ke balai selepas keluar meronda pada 2.30 pagi apabila menerima arahan daripada ketua polis balai ketika itu.

“Apabila sampai di balai, saya terlihat ada sekujur tubuh kaku di sebelah berek sebelum dimaklumkan itu ialah rakan setugas yang telah ditetak.

“Rakan turut memberitahu balai diserang tetapi suspek tidak kelihatan ketika itu …. Tiba-tiba, penyerang melepaskan tembakan ke arah kami dan terkena bahagian bahu dan pinggul saya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pemakaian Pangkat Secara Medan dan Posthumous di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini semalam.

Berpantang maut sebelum ajal, Mohd Hasif bersama tiga rakannya cuba menjejaki penyerang terbabit di sekeliling balai sebelum berhenti di sebuah kereta kebal di dalam balai untuk berlindung.

Dalam keadaan cedera dan berlumuran darah, Mohd Hasif tetap gagah melepaskan beberapa das tembakan ke arah penyerang sebelum keluar dari balai terbabit dan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

“Apabila sampai di hospital, saya terus hubungi isteri dan maklumkan keadaan kerana tidak mahu dia dan anak-anak risau,” katanya.

Dalam kejadian itu, Mohd Hasif cedera di bahagian bahu dan pinggul kiri ketika berbalas tembakan penyerang dalam insiden 2.45 pagi pada 17 Mei.

Selepas hampir sebulan kejadian itu, Mohd Hasif kini masih menerima rawatan secara berkala, namun tidak pernah luntur semangatnya untuk terus menabur bakti dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau yang sudah 14 tahun berkhidmat dalam PDRM itu berkata sudah menjadi lumrah dalam pasukan itu untuk berkhidmat kepada masyarakat walaupun berdepan dengan cabaran dan dugaan.

“Perkara ini lumrah dalam polis, selagi boleh berkhidmat kita terus berkhidmat,” katanya.

Mohd Hasif merupakan seorang daripada tiga anggota Balai Polis Ulu Tiram yang menerima kenaikan pangkat secara medan semalam yang disampaikan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau menerima kenaikan pangkat Sarjan, manakala dua lagi anggota iaitu Konstabel Mohd Khairul Azhar Abbi Paisa dan Lans Koperal Muhammad Aznel Salleh masing-masing dinaikkan pangkat Koperal.

Selain itu, dua anggota polis yang terkorban dalam kejadian itu, Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said masing-masing dinaikkan pangkat Koperal secara posthumous.

Dalam kejadian terbabit, Ahmad Azza Fahmi dan Muhamad Syafiq meninggal dunia selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan parang, manakala Mohd Hasif cedera ditembak.

Susulan kejadian itu, polis menahan lima ahli keluarga suspek berumur 19 hingga 62 tahun mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan