AM

1,000 POKOK AKAN DITANAM DI PERKUBURAN ISLAM KEMUYANG

15/06/2024 06:53 PM

SIBU,15 Jun (Bernama) -- Tanah Perkuburan Islam Kemuyang, kira-kira 20 kilometer dari sini yang mempunyai keluasan lebih 10 hektar akan menghijau apabila 1,000 pokok akan ditanam sempena Hari Hutan Antarabangsa 2024 Peringkat Bahagian Sibu mulai hari ini.

Program tersebut dijayakan Jabatan Hutan Sarawak bersama Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sibu (LAKIS) dan Pusat Khidmat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) DUN Nangka.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat merangkap ADUN Nangka Datuk Dr Annuar Rapaee berkata buat permulaan, penanaman tersebut akan melibatkan 510 pokok manakala selebihnya akan ditanam secara berperingkat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program penanaman pokok di tanah perkuburan tersebut yang telah dibuka sejak tiga tahun lalu bagi menggantikan Tanah Perkuburan Islam Al-Qadim yang terletak di pusat bandar Sibu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Datuk Hamden Mohammad berkata program tersebut adalah sebahagian daripada program Kempen Penanaman 100 Juta Pokok seluruh negara.

“Sarawak telah diamanahkan untuk menanam 35 juta daripada 100 juta pokok. Sebenarnya kami telah mencapai sasaran 35 juta pokok pada Sabtu lepas. Kami tidak akan berhenti di sini tetapi akan terus menanam lebih banyak pokok," katanya.

Beliau berkata Kempen Malaysia Hijau akan berakhir pada Disember 2025 dan beliau berharap program ini akan diteruskan kerana ini adalah sebahagian daripada agenda kerajaan Sarawak ke arah pembangunan lestari.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan