AM

DAF DI LRA BUKIT PANCHOR MAMPU SELESAI MASALAH BEKALAN AIR DI SEBERANG PERAI SELATAN - PBAPP

15/06/2024 06:59 PM

NIBONG TEBAL, 15 Jun (Bernama) -- Modul Rawatan Air Pengapungan Udara Terlarut (DAF) di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Panchor di sini, yang bernilai RM18.6 juta, mampu menyelesaikan masalah bekalan dihadapi penduduk di Seberang Perai Selatan (SPS) terutama di Mukim 5 Sungai Bakap di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) K.Pathmanathan berkata DAF di LRA Bukit Panchor telah beroperasi sejak Disember 2023 dan membekalkan tambahan 10.5 juta liter air sehari (JLH).

Beliau berkata PBAPP telah melabur sebanyak RM20.52 juta bagi menambah baik perkhidmatan bekalan air di SPS termasuk DAF di LRA Bukit Panchor, LRA Mudah Alih di Taman Sungai Duri Indah dan tangki sedutan baharu di Taman Widuri serta Taman Wellesley.

"Sebelum ini, hampir 1,500 akaun di Mukim 5 Sungai Bakap mengalami masalah bekalan air namun dengan DAF, terdapat penurunan drastik dalam aduan namun kami masih menerima aduan mengenai isu air terputus-putus di kawasan tinggi dan kejiranan hujung paip agihan di SPS," katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas Majlis Pembukaan Rasmi DAF LRA Bukit Panchor oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Pathmanathan berkata bagi memastikan bekalan mencukupi, sebuah lagi LRA kompak di Sungai Kerian sedang dibina dengan kos RM4 juta.

Beliau berkata selepas 2030, pengoperasian Projek Air Perak-Pulau Pinang dijangka mampu menangani permintaan di SPS dan pihaknya berharap untuk memeterai perjanjian dengan Kerajaan Negeri Perak secepat mungkin.

Chow pula berkata kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian dalam usaha meningkatkan perkhidmatan pembekalan air di Pulau Pinang termasuk di SPS.

Beliau berkata punca gangguan bekalan yang berlaku di beberapa kejiranan di kawasan itu adalah disebabkan oleh penggunaan air lebih tinggi dengan peningkatan populasi dan pengoperasian industri di sekitar daerah berkenaan.

"PBAPP juga telah melabur sebanyak RM49.6 juta untuk dua projek iaitu di Bukit Panchor dan Sungai Dua di bawah Pelan Kontigensi Air 2030 (WCP 2030).

"Dari tempoh 2024 hingga 2028, PBAPP telah merancang untuk melabur sebanyak RM1.134 bilion lagi bagi membina empat loji rawatan air baharu di SPS dan memasang dua saluran paip utama untuk meningkatkan kapasiti pengepaman air," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan