AM

TAYYIB RANCH SEDIAKAN DAGING PERCUMA KEPADA KUMPULAN B40

15/06/2024 06:37 PM

Oleh N.Sevagamy

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Sebagai usaha membantu golongan berpendapatan rendah, sebuah syarikat pertanian dengan tumpuan khusus dalam pengeluaran daging berkualiti memutuskan untuk mengagihkan daging percuma semasa sambutan Aidiladha Isnin depan.

Menurut jurucakap Tayyib Ranch Sdn Bhd Mohd Sakhedan Sidek, daging itu akan diberikan kepada kumpulan B40 kerana mereka tidak mampu membeli daging.

“Kami sedar banyak isi rumah yang kurang berkemampuan tidak mampu membeli daging termasuk warga asing. Fokus kami adalah untuk memberi sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

“Mereka boleh menghubungi kami di talian 0165173858 untuk tempahan awal bagi mengelak sebarang kekeliruan semasa proses penyembelihan.

"Kami bersyukur kerana dapat menghulurkan bantuan kepada kumpulan B40," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Karnival Qurban yang diadakan di Dengkil berhampiran perkampungan Orang Asli Bukit Dugang sehingga 17 Jun.

Tayyib Ranch, pembekal terkemuka daging premium yang diperakui halal, komited untuk memberikan kualiti dan rasa yang tiada tandingan kepada pelanggan.

Mohd Sakhedan seterusnya berkata mereka yang berkemampuan juga boleh membeli keseluruhan seekor lembu atau daging di karnival tersebut kerana lembu-lembu itu telah divaksin dan sihat.

"Lembu kami diberi makan dengan pelet, pelet soya, jagung, polard putih, dan rumput Napier untuk menghasilkan susu berkualiti tinggi. Proses penyembelihan akan berlangsung di sini (di karnival)," katanya.

Tinjauan Bernama pada karnival itu mendapati terdapat pelbagai jenis baka lembu bersaiz besar termasuk Angus, Charolais, Limousin, Piedmontese dan Brahman yang telah dijual sejak karnival itu bermula pada Selasa.

Aidiladha tahun ini yang jatuh pada 17 Jun disambut umat Islam dengan solat hari raya dan ibadah korban yang melibatkan penyembelihan haiwan ternakan dan pengagihan daging kepada mereka yang memerlukan.

Dalam upacara korban tahunan ini, seorang Muslim boleh sama ada menyumbang keseluruhan seekor lembu atau menyumbang sebahagian daripada harga lembu itu. Terdapat tujuh bahagian untuk setiap lembu dengan setiap orang dibenarkan menyumbang satu bahagian atau lebih.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan