SUKAN

SHEREEN TIDAK 'PUAS HATI', MAHU TAMPIL LEBIH BAIK

15/06/2024 06:18 PM

KUANTAN, 15 Jun (Bernama) -- Pelari 400 meter wanita negara Shereen Samson Vallabouy memandang ke hadapan untuk mempamerkan prestasi lebih baik pada Terbuka Kazakhstan selepas hanya mencatatkan masa 52.45 saat pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2024 di Stadium Darul Makmur di sini hari ini.

Shereen berkata meskipun muncul juara dalam acara itu, dia tidak begitu berpuas hati dengan catatan masa direkodkan kerana ia jauh daripada apa yang disasarkan.

"Saya baharu sahaja kembali ke sini dari Amerika Syarikat di mana saya sepatutnya ada cukup masa untuk mengembalikan kecergasan tetapi tidak sempat.

“Bagi melayakkan diri (ke Olimpik) saya harus mencatat 50.95 saat ke bawah, tetapi hari ini ia tidak langsung menghampiri catatan itu.

"Saya juga sudah cuba berlari lebih laju namun, momentum cabaran daripada atlet lain bagaikan tiada sehingga saya rasa seperti berlari seorang diri," katanya ketika ditemui pemberita sejurus tamat acara berkenaan di sini hari ini. 

Pada acara larian 400 meter itu, kedudukan kedua diungguli Nurul Aliah Maisarah Nor (Johor) dengan catatan 57.18 saat manakala tempat ketiga diraih atlet Angkatan Tentera Malaysia Nurul Faizah Asma Mazlan (57.61 saat).

Bagi mempersiapkan diri ke Terbuka Kazakhstan di Almaty pada  23-24 Jun ini, atlet berusia 26 tahun yang berasal dari Perak itu berkata dia akan melakukan persiapan lebih rapi untuk mencapai sasaran ditetapkan.

"Segalanya berkait permainan mental iaitu bagaimana saya melaksanakan larian dengan baik dan fokus terhadap petandingan.

"Bagi saya, kejohanan di Kazakhstan amat penting kerana ia adalah peluang terakhir saya untuk melayakkan diri ke Olimpik di Paris nanti," katanya.

Shereen sebelum ini berjaya memecahkan rekod kebangsaan acara larian 400 meter apabila mencatat 51.79 saat dengan menduduki tempat kedua di Music City Track Carnival, Tennessee, Amerika Syarikat.

Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2024 yang membuka tirainya semalam bakal berlangsung selama tiga hari di Stadium Darul Makmur di sini dengan menampilkan 578 atlet terdiri daripada 17 pasukan dalam negara dan lapan negara luar seperti Australia dan Rusia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan