SUKAN

500 SERTAI ACARA LARIAN BATON SUKMA XXI DI SRI AMAN

15/06/2024 05:25 PM

SIMANGGANG, 15 Jun (Bernama) -- Seramai 500 peserta telah menyertai program Larian Baton sempena temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 edisi ke-9 yang diadakan di Tebingan Sungai Sri Aman, di sini.

Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dalam kenyataan di portal rasminya memaklumkan seawal pukul 6 pagi, orang ramai telah membanjiri ruang tebingan sungai itu bagi bersama-sama melakukan senam aerobik, seterusnya larian baton.

“Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Negeri Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang Datuk Francis Harden Hollis kemudiannya melepaskan peserta larian baton.

“Peserta larian yang diketuai oleh Ketua Sukan Ikon yang juga bekas atlet bola sepak Sarawak Abang Yahya Abang Sulaiman itu menempuh larian sejauh 3.3 kilometer, menyelusuri beberapa jalan utama dalam bandar Sri Aman,” kata kenyataan itu.

Turut hadir Ahli Parlimen Sri Aman Datuk Seri Doris Sophia Brodie, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA XXI Sarawak 2024 Datuk Hii Chang Kee dan ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor.

Tambah UKAS, Bahagian Sri Aman akan menjadi tempat bagi penganjuran sukan tinju SUKMA XXI 2024 yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos ini dan acara Larian Baton itu akan diteruskan ke bahagian Serian pada Ahad.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan