DUNIA

INDONESIA LANCAR TINDAKAN TEGAS TERHADAP JUDI DALAM TALIAN, SEKAT HAMPIR 3 JUTA LAMAN SESAWANG

15/06/2024 05:19 PM

JAKARTA, 15 Jun (Bernama) -- Kementerian Komunikasi dan Teknologi Maklumat Indonesia telah melancarkan kempen besar-besaran terhadap perjudian dalam talian, menyekat sebanyak 2,945,150 laman sesawang perjudian dari Julai 2023 hingga 13 Jun 2024.

Kementerian itu juga menangani 16,596 kes kandungan perjudian yang menyusup ke platform pendidikan dan 18,974 di laman sesawang kerajaan, serta mendesak penutupan 555 akaun e-dompet yang dikaitkan dengan aktiviti perjudian haram.

Menteri Budi Arie Setiadi, dalam satu kenyataan pada Khamis, berkata tindakan tegas itu diambil di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat terhadap pertumbuhan pesat perjudian dalam talian dan kesannya terhadap masyarakat.

Kementerian itu juga mengeluarkan amaran keras kepada platform digital utama, termasuk X, Telegram, Google, Meta dan TikTok, menekankan potensi denda sehingga 500 juta rupiah (US$30,328) setiap kandungan bagi ketidakpatuhan, manakala Penyedia Perkhidmatan Internet yang gagal bekerjasama berisiko kehilangan lesen mereka.

“Kesan negatif perjudian dalam talian sangat mendalam, mempengaruhi ekonomi, struktur sosial kita dan bahkan mengakibatkan tragedi peribadi,” kata Budi Arie.

Presiden Joko Widodo atau Jokowi baru-baru ini turut menyeru rakyat untuk mengelakkan aktiviti perjudian, baik dalam talian mahupun luar talian.

“Jangan berjudi... Jangan berjudi... Jangan berjudi... sama ada di luar talian atau dalam talian. Lebih baik menyimpan atau melaburkan pendapatan anda dalam usaha perniagaan,” kata Jokowi sambil menyuarakan kebimbangan terhadap kesan buruk perjudian terhadap keluarga dan masyarakat.

Minggu lepas, media tempatan melaporkan insiden tragis di Mojokerto, Jawa Timur, di mana seorang anggota polis wanita membakar suaminya sehingga mati selepas bertengkar mengenai penglibatannya dalam aktiviti perjudian dalam talian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan