AM

OPS TIRIS: KPDN PERLIS TUMPAS KEGIATAN PENYELEWENGAN PETROL

15/06/2024 05:14 PM

KANGAR, 15 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan petrol menerusi Ops TIRIS 3.0 dalam satu serbuan terhadap sebuah kenderaan di sebuah stesen minyak di sini semalam.

Pengarah KPDN Perlis Norazah Jaapar berkata pihaknya berjaya merampas petrol sebanyak 767 liter dianggarkan bernilai RM8,582.47 daripada serbuan yang dilakukan pada 10 pagi itu dengan hasil maklumat dan kerjasama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membuat pemeriksaan di stesen minyak itu.

"Serbuan dengan kekuatan keseluruhan seramai enam anggota Penguat Kuasa daripada Pejabat KPDN Perlis...hasil pemeriksaan lanjut di tempat kejadian oleh pasukan serbuan mendapati saluran tangki minyak asal kenderaan tersebut disambungkan kepada tangki tambahan yang diletakkan di dalam bahagian tempat duduk belakang sehingga ke bonet kenderaan. 

"Sebanyak tiga tangki tambahan dipasang di dalam kenderaan suspek.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas keseluruhan kenderaan itu, pasukan serbuan telah menemukan bahan api petrol anggaran sejumlah 767 liter di dalam tangki tambahan yang bersambung dengan tangki asal kenderaan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Norazah berkata petrol dan kenderaan bernombor pendaftaran Malaysia berserta tangki tambahan yang mempunyai petrol itu disita untuk siasatan lanjut manakala seorang lelaki warga tempatan berusia awal 30-an yang merupakan pemandu kenderaan itu ditahan bagi membantu siasatan. 

Selain itu, beliau berkata stesen minyak lokasi kejadian itu turut diambil tindakan kerana dipercayai bersekongkol dengan sindiket penyelewengan barang kawalan itu apabila membenarkan pengisian bahan api petrol dengan nilai yang tidak munasabah melebihi had isian tangki asal kenderaan. 

"Kertas siasatan bagi kedua-dua tindakan kes ini telah dibuka dan siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 112] bagi mengenal pasti individu/syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti  penyelewengan ini serta rantaian pengedaran bahan api petrol tersebut.

"KPDN memberi amaran keras ke atas mana-mana individu/syarikat supaya sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan...kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam penyelewengan dan aktiviti haram ini," katanya.          

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan