AM

PESERTA BAHARU MM2H TIDAK LAYAK MOHON STATUS PR - TIONG

15/06/2024 03:34 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Peserta baharu Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) bagi ketiga-tiga kategori Platinum, Gold dan Silver, tidak layak untuk memohon status penduduk tetap (PR), menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

Tiong menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini memaklumkan kerajaan telah bersetuju untuk memperkenalkan syarat baharu penyertaan Program MM2H.

“Menerusi pendekatan terbaharu ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yakin Program MM2H berupaya menarik minat bakal peserta MM2H dari golongan sasaran, khususnya individu warga negara asing berpendapatan tinggi dan juga dalam kalangan nomad digital, dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama.

“Kehadiran golongan ini, diharap akan merancakkan lagi ekonomi tempatan terutama dalam industri pelancongan, perumahan, pendidikan, perubatan dan sebagainya sekali gus menjadikan Malaysia hab global yang mempunyai daya saing tinggi,” katanya.

MM2H diperkenalkan pada 2002 yang membenarkan warga asing membeli hartanah dan tinggal di Malaysia sebelum dibekukan sementara pada Ogos 2020, bagi memberi ruang kepada Kementerian Dalam Negeri dan MOTAC mengkaji serta menilai semula program itu secara komprehensif.

Sejak Oktober 2021, permohonan baharu MM2H dikendalikan Jabatan Imigresen, merangkumi urusan berkaitan perkhidmatan pemprosesan permohonan sedia ada dan logistik.

Berdasarkan infografik yang dikongsikan Tiong pada hantaran sama, pemohon MM2H dikategorikan kepada tiga iaitu Platinum, Gold dan Silver berdasarkan kriteria dan syarat yang ditentukan.

Antara syarat am bagi ketiga-tiga kategori itu ialah terbuka kepada warga asing dari negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia, berusia 25 tahun ke atas, semua permohonan sebagai peserta MM2H dibuat melalui Pusat Sehenti MM2H dan tempoh keberadaan di Malaysia sekurang-kurangnya 90 hari secara kumulatif dalam setahun.

Antara perincian kriteria dan syarat permohonan untuk kategori Platinum, mempunyai simpanan tetap berjumlah US$1 juta, kategori Gold pula mempunyai simpanan tetap berjumlah US$500,000 dan Silver (US$150,000).

Sementara itu, Tiong menerusi hantaran sama memaklumkan MOTAC telah mula memproses dan meluluskan Lesen Perniagaan Pengendalian Pelancongan MM2H, dengan menggunakan syarat baharu yang diperkemaskan.

Tiong berkata ejen yang telah diluluskan Lesen Perniagaan Pengendalian Pelancongan MM2H dengan menggunakan syarat baharu, boleh mula mengemukakan permohonan peserta baharu di Pusat Sehenti Malaysia My Second Home (OSC MM2H), di Putrajaya.

Beliau berkata antara syarat lesen perniagaan pengendalian pelancongan MM2H ialah modal berbayar syarikat dinaikkan daripada RM50,000 kepada minimum RM200,000, fi lesen ditetapkan pada RM2,500 setahun, dan lokasi premis perniagaan dengan alamat yang sah.

“Syarat-syarat baharu ini diperkenalkan dengan tujuan untuk meningkatkan kredibiliti dan akauntabiliti syarikat perniagaan pengendalian MM2H berlesen. Tambahan juga, syarat lesen ini bertujuan melindungi peserta yang menyertai program itu dengan lebih menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata butiran lanjut berhubung syarat, akan diperjelaskan dalam Garis Panduan Permohonan Lesen Perniagaan Pengendalian Pelancongan MM2H, yang boleh didapati dalam laman sesawang MOTAC.

Katanya, sebarang pertanyaan berhubung pelesenan MM2H juga boleh diajukan menerusi e-mel lesenmm2h@motac.gov.my.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan