AM

AIDILADHA: PENTERNAK RUMUS MAKANAN LEMBU SENDIRI, JAGA KUALITI DAGING, JIMAT KOS

15/06/2024 03:16 PM

SEPANG, 15 Jun (Bernama) -- Kesukaran mendapatkan bekalan makanan palet untuk haiwan ternakan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lepas menjadi titik tolak buat seorang penternak di Sungai Merab di sini untuk menghasilkan rumusan makanan sendiri untuk lembu bagi ibadah korban.

Pengurus pusat ternakan Kumpulan Agro Selangor Abdul Aziz Noor Azzuddin, 28, berkata menariknya, rumusan makanan berkenaan dihasilkan sendiri oleh ayahnya Noor Azzudin Abd Aziz, 57,  yang merupakan pengasas syarikat berkenaan menerusi tip yang diperoleh menerusi YouTube serta berbekalkan pengalaman sebagai guru Fizik dan Sains sebelum ini.

Beliau berkata hasilnya, kualiti daging yang lebih baik tanpa campuran bahan terlarang yang adakalanya digunakan untuk menggemukkan lembu selain membantu mengurangkan kos jualan lembu sekitar RM500 hingga RM800 seekor berbanding penggunaan palet makanan yang kosnya agak mahal.

“Lembu 100 peratus makan makanan yang kami rumuskan sendiri. Makanan utama ialah campuran jagung, dedak, kernel sawit, gandum, padi, jagung, ubi, gula merah serta protein yang kita dapatkan ilmu dari YouTube.

“Kami memilih untuk merumus sendiri makanan sebab tidak mahu terikat dengan harga palet yang ditetapkan pengeluar yang adakalanya agak menekan penternak,” katanya dengan menambah turut memberi makan jerami padi yang diperoleh daripada petani di Kedah dan sayur-sayuran. 

Beliau berkata kira-kira lima hingga enam tan makanan sehari diperlukan untuk 1,300 dan 500 ternakan lembu dan kambing yang terdapat di beberapa pusat ternakan milik syarikat itu di sekitar Selangor iaitu di Sungai Merab, Gombak, Antara Gapi dan Batang Kali.

Sempena Aidiladha ini, kira-kira 1,200 ternakannya terdiri daripada kambing dan lembu telah ditempah oleh individu, pertubuhan bukan kerajaan, pengurusan masjid dan surau sejak beberapa bulan lepas yang dijual pada harga RM4,500 hingga RM7,000 seekor bergantung pada berat dan baka lembu.

Beliau bersyukur kerana ketika penternak lain mengeluh dengan kos makanan, operasi dan penjagaan yang semakin meningkat sehingga terpaksa menaikkan harga lembu korban, pihaknya masih boleh mengekalkan harga seperti tahun lepas.

Menurut beliau, ini antara lain disumbang oleh penggunaan tenaga kerja yang kurang dengan adanya penggunaan teknologi mesin pengadun makanan, stor penyimpanan makanan yang besar, selain pendapatan tambahan apabila najis lembu dijual untuk menghasilkan baja selepas musim korban berakhir.

Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dalam kenyataan kepada Bernama memaklumkan pihaknya menjalankan program pemantauan dengan pengambilan sampel makanan haiwan di premis makanan haiwan secara berkala terhadap penggunaan antibiotik, hormon atau bahan kimia lain.

Menurut kenyataan itu, ia bagi memastikan keselamatan makanan dan melindungi pengguna dari kemungkinan bahaya yang berkaitan dengan penggunaan bahan-bahan terlarang termasuklah steriod di dalam makanan haiwan.

“Percampuran bahan terlarang termasuk steriod di dalam makanan ternakan adalah dilarang seperti dinyatakan di dalam Akta Makanan Haiwan 2009. Sebarang maklumat berkaitan percampuran bahan steriod di dalam makanan haiwan boleh dilaporkan kepada pihak DVS untuk siasatan dan tindakan perundangan di bawah Akta Makanan Haiwan 2009,” kata kenyataan itu lagi. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan