DUNIA

DENMARK JADI ANGGOTA NATO PERTAMA MELABUR DALAM PENGELUARAN SENJATA UKRAINE

15/06/2024 11:57 AM

LONDON, 15 Jun (Bernama-Anadolu) -- Kerajaan Denmark telah menandatangani memorandum untuk membeli senjata dan peralatan dari pengeluar Ukraine, menjadi anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pertama yang membuat pelaburan sedemikian.

Menteri Pertahanan Denmark Troels Lund Poulsen bertemu rakan sejawatannya dari Ukraine, Rustem Umerov dan Menteri Pertahanan Belanda, Kaisa Ollongren semasa mesyuarat ke-23 Kumpulan Hubungan Pertahanan Ukraine di Brussels pada 13 April, lapor Agensi Anadolu (AA) pada Jumaat.

"Ini adalah langkah penting kerana Denmark menjadi negara NATO pertama yang melaburkan dana dalam pengeluaran senjata di wilayah Ukraine. Ini membuktikan bahawa industri pertahanan Ukraine bersedia untuk bekerjasama di peringkat antarabangsa dan boleh memenuhi piawaian tertinggi," kata Umerov.

Surat niat juga ditandatangani, memulakan kerjasama antara Ukraine dan Belanda untuk menyokong kompleks industri pertahanan Kyiv.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pertahanan Ukraine untuk Industri Strategik, Serhii Boiev, menyatakan bahawa perjanjian ini penting kerana kedua-dua negara juga telah bersetuju mengenai prosedur pembiayaan, yang bertujuan mempercepatkan proses tersebut. 

“Ia boleh menjadi model untuk perjanjian serupa dengan negara sekutu lain.

"Kami berterima kasih kepada kerajaan Denmark atas sokongan konsisten dan dialog konstruktif yang membawa kepada hasil nyata," kata Boiev, seperti yang dilaporkan oleh UKRINFORM.

Pada April, Kementerian Pertahanan Denmark menjanjikan pakej bantuan ketenteraan baharu bernilai 2.2 bilion kroner (US$313 juta) untuk Ukraine, termasuk 200 juta kroner Denmark (US$28.5 juta) yang dikhususkan untuk pembelian daripada industri pertahanan Ukraine.

Industri pertahanan Ukraine mempunyai kapasiti sekitar US$20 bilion; bagaimanapun, negara itu hanya mempunyai bajet US$6 bilion untuk membeli senjata dan peralatan, menurut kenyataan terdahulu oleh Menteri Industri Strategik, Oleksandr Kamyshin.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan