AM

PAMERAN KENDERAAN KLASIK KELUARGA DIRAJA JOHOR SEMPENA MBWM 2024

15/06/2024 03:52 PM

MELAKA, 15 Jun (Bernama) -- Kerajaan Melaka membawa kelainan sempena Malaysia Bike Week Melaka (MBWM) 2024 kali ini dengan menampilkan pameran khas ‘Aset Automotif Klasik Keluarga Diraja Johor’.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata pameran itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Johor Sultan Ibrahim.

"Sebanyak 37 koleksi kenderaan automotif klasik keluarga Diraja Johor yang mempunyai nilai sejarah tidak ternilai seperti koleksi Mack Truck Scorpion, Morgan 3 Wheeler, Harley Davidson Street Glide Tiger dan banyak lagi koleksi kenderaan klasik yang sukar ditemui, untuk tatapan umum sebagai sebahagian pengisian program Malaysia Bike Week yang diadakan di Melaka.

"Saya percaya inisiatif penganjuran program seumpama ini akan memberi impak yang positif khususnya kepada pertumbuhan ekonomi negeri sekali gus menjadikan Melaka sebagai hab destinasi pelancongan yang unggul berasaskan permotoran di peringkat nasional dan antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Malaysia Bike Week Melaka 2024 di Dataran Perbadanan Melaka (MCorp), Ayer Keroh di sini malam tadi.

Mengulas mengenai Malaysia Bike Week Melaka 2024, Ab Rauf berkata acara itu merupakan kesinambungan penganjuran program serupa yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor pada 2019 yang menyaksikan kehadiran lebih 300,000 pengunjung.

Acara berkenaan akan berlangsung tiga hari bermula pada Jumaat dan berakhir Ahad ini.

"Saya menjemput semua untuk bersama-sama memeriahkan himpunan 100 kelab penunggang motosikal (bikers) dari seluruh Malaysia termasuk dari luar negara seperti Singapura, Thailand dan Indonesia dengan penyertaan 20,000 peserta pelbagai jenis kuasa motosikal.

"Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan khas untuk peminat-peminat dunia permotoran, antaranya, pameran motorsikal, Motor Drift, Bike Show, Cabutan Bertuah yang mana hadiah utama berupa sebuah kereta Proton X50 dan 10 motosikal serta banyak lagi aktiviti lain," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan