AM

AIDILADHA: 2.52 JUTA KENDERAAN DIJANGKA GUNA LEBUH RAYA UTAMA - LLM

15/06/2024 09:50 AM

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan jumlah kenderaan di Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT2 meningkat sehingga 2.52 juta sempena perayaan Hari Raya Aidiladha pada 17 Jun ini.

LLM dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesemua syarikat konsesi diarah menghentikan kerja pembinaan dan penyelenggaraan melibatkan penutupan lorong bermula Rabu lepas hingga 19 Jun ini bagi meminimumkan kesan peningkatan trafik.

"Selain itu, pengoperasian lebuh raya dan semua kemudahan berfungsi dengan baik terutamanya di kawasan R&R (rehat dan rawat), hentian sebelah serta sistem kutipan tol dengan penambahan lorong sementara.

"Konsesi juga diarahkan menambah kemudahan tempat letak kereta dan tandas mudah alih di beberapa R&R, meningkatkan bilangan petugas, memastikan kecukupan bekalan air serta minyak di stesen-stesen minyak selain mengaktifkan lorong pintar di beberapa lokasi,” menurut kenyataan itu.

Untuk mengetahui status perjalanan, pengguna boleh merujuk aplikasi MyPLUS-TTA oleh PLUS Berhad bagi perjalanan di Lebuhraya Utara Selatan dan cadangan waktu perjalanan (TTA) oleh pihak Anih Berhad bagi Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1.

“Pengguna boleh mendapatkan status semasa trafik lebuh raya atau sebarang insiden di lebuh raya melalui media sosial rasmi LLM dan Syarikat Konsesi seperti di Facebook rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia, aplikasi X @llmtrafik serta tiktok @llmtrafik.

“Pengguna juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik, LLM di talian hotline 1–800–88–7752. Bagi mendapatkan maklumat keadaan trafik semasa melalui paparan CCTV di semua lebuh raya, pengguna boleh melayari laman sesawang LLM di http://www.llm.gov.my,” menurut kenyaatan itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan