EKONOMI

PEMBERIAN KONTRAK ISS 2 KAPAL SELAM TLDM BUKTI KEYAKINAN KEPADA BHIC

15/06/2024 12:38 AM

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- BHIC Submarine Services Engineering Sdn Bhd (BSES), Syarikat milik penuh Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC) menerima surat anugerah (LOA) daripada Kementerian Pertahanan untuk menyediakan perkhidmatan In-Service Support 2 (ISS 2) kepada kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ketua Pegawai Eksekutif BHIC Feroz Razi Ramli berkata pemberian LOA ini membuktikan keyakinan kerajaan Malaysia terhadap kebolehan BSES dan BHIC menyiapkan projek pada masa yang ditetapkan, mengikut kos peruntukan serta memenuhi permintaan pelanggan.

“Keyakinan yang ditunjukkan oleh kerajaan terhadap BSES untuk terus memberikan perkhidmatan ISS kepada kapal selam TLDM merupakan undi percaya kepada Kumpulan BHIC bagi menyelenggara aset ketenteraan yang menjadi tunjang kepada keselamatan dan kepentingan strategik negara,” katanya menerusi kenyataan media malam ini.

Beliau berkata pemberian kontrak itu merupakan bukti kebolehan dan kecekapan syarikat berkenaan dalam memberikan perkhidmatan penyelenggaraan kapal selam TLDM dan memastikan ia boleh dikendalikan dengan selamat dan efisien untuk menjaga keselamatan perairan negara.

“Ia juga merupakan satu pencapaian signifikan kepada sebuah syarikat tempatan untuk menyelenggara dan mengimplementasikan ISS terhadap kapal selam TLDM,” katanya.

Kontrak ISS 2 bernilai RM1.1 bilion ini bermula secara retrospektif dari 15 Feb lepas hingga 14 Feb 2029 dan BHIC menjangkakan kontrak ini akan menyumbang secara positif kepada tahun kewangan berakhir 31 Dis ini.

Pada Mac tahun lepas, Kementerian Pertahanan yang mewakili kerajaan Malaysia telah memberikan BSES kontrak interim bernilai RM143 juta untuk menjalankan kerja-kerja ISS terhadap kapal selam TLDM dan sepanjang tempoh kontrak ini, BSES telah membuktikan kebolehannya dengan mencapai semua matlamat yang ditetapkan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Holdings Berhad Izaddeen Daud berkata anugerah kontrak ISS 2 serta pembaharuan kontrak-kontrak kerajaan bernilai tinggi kepada Kumpulan BHIC mempamerkan kebolehannya sebagai antara rakan strategik pertahanan utama di Malaysia.

“BHIC bersedia untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam industri pertahanan melalui penglibatan dalam inisiatif-inisiatif negara dan mengembangkan rantaian bekalan dalam sektor pertahanan. Ini akan mengukuhkan lagi kedudukan syarikat dalam kalangan pemain industri dalam menyumbang kepada pembangunan dan pertumbuhan industri pertahanan yang lebih mampan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan