EKONOMI

KAO MALAYSIA LANCAR "BIORÉ GUARD MOS BLOCK SERUM" CEGAH GIGITAN NYAMUK

14/06/2024 11:59 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- KAO Malaysia, anak syarikat luar negara KAO Corporation Jepun, syarikat kimia dan kosmetik global, mengumumkan Bioré GUARD Mos Block Serum baharu, serum berasaskan penghalau nyamuk yang diformulasikan dengan teknologi antipendaratan unik untuk menghalang nyamuk daripada hinggap pada kulit untuk menghisap darah.

KAO Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengumuman itu bersempena dengan peluasan projek global Guard Our Future, tertumpu pada teknologi dan formulasi produk inovatif yang menyediakan perisai perlindungan, menjauhkan nyamuk daripada kulit manusia, sekali gus menghalang gigitan nyamuk.

"Sebagai sebahagian daripada projek, KAO Malaysia juga akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor menerusi pemeteraian memorandum perjanjian dan syarikat farmaseutikal Takeda Malaysia melalui memorandum persefahaman, dalam beberapa aktiviti bertujuan melindungi nyawa rakyat Malaysia daripada nyamuk dan penyakit bawaan nyamuk seperti demam denggi," menurut kenyataan itu.

Presiden Perniagaan Penjagaan Kulit KAO Corporation Masahide Nishida dalam kenyataan sama berkata adalah penting untuk memacu strategi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ke arah Pelan Gaya Hidup Kirei bagi merealisasikan masyarakat yang benar-benar mampan, sambil meningkatkan perniagaan dan mengurangkan risiko dengan landskap global yang berkembang pesat dengan cabaran baharu.

"Pada 2023, kami mempercepat usaha ke arah Pelan Jangka Sederhana 2027 (K27) untuk merealisasikan visi Protecting future lives — Sustainability as the only path.

"Beberapa kemajuan utama termasuk pelancaran Bioré GUARD Mos Block Serum baharu dan projek Guard Our Future yang menggabungkan teknologi unik dan kerjasama utama untuk menyelamatkan nyawa masa depan," katanya.

Sementara itu, Presiden KAO Malaysia Nishimaki Akira berkata demam denggi menjadi isu masyarakat utama bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di seluruh Asia Tenggara bertahun-tahun lamanya, di samping pemanasan global dan peningkatan urbanisasi yang turut memperluas habitat nyamuk dan meningkatkan kejadian demam denggi setiap tahun.

"Sebagai sebahagian daripada komitmen KAO terhadap strateginya, kami menyasarkan untuk mensinergikan semua usaha dan meluaskan janji Guard Our Future dalam membendung dan membasmi ancaman denggi kepada komuniti kami," katanya dalam kenyataan itu.

KAO akan mempromosikan Guard Our Future bagi mencapai komitmen masa depan, dengan matlamat menjadi syarikat yang penting dalam masyarakat mampan melalui usaha seluruh syarikat untuk melindungi nyawa masa hadapan, dengan Bioré GUARD Mos Block Serum sebagai wakil kepada komitmen KAO dalam menyelesaikan isu sosial.

Setakat Disember tahun lepas, syarikat ini melalui projek Guard Our Future dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor dan Takeda Malaysia berinteraksi dengan komuniti melalui pelbagai cara termasuk ceramah kesedaran tentang bahaya demam denggi dan kaedah mencegah serta mengurangkan penularan.

Ia termasuk penglibatan komuniti di 50 sekolah terpilih, serta tiga sesi pembersihan di kawasan panas denggi terpilih di Selangor.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan