AM

KERAJAAN SABAH SEDANG MUKTAMADKAN DRAF ENAKMEN PENGURUSAN BANGUNAN

14/06/2024 09:12 PM

KOTA KINABALU, 14 Jun (Bernama) -- Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah sedang memuktamadkan draf Enakmen Pengurusan Bangunan yang akan memberikan perlindungan lebih baik kepada pemilik petak atau unit.

Timbalan Ketua Menteri II Sabah Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata proses itu dilakukan dengan kerjasama Persatuan Undang-Undang Sabah, agensi negeri berkaitan dan badan profesional.

Beliau berkata hak milik subsidiari penting kepada pengurusan dan pemilikan bangunan berbilang tingkat seperti kondominium dan pusat beli-belah.

“Apabila enakmen ini diluluskan Dewan Undangan Negeri Sabah, ia akan menyediakan garis panduan lebih menyeluruh. 

“Ini akan memberi kejelasan untuk pengurusan harta strata dan perlindungan lebih baik bagi pemilik petak atau unit,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan Persidangan Property Hunter 2024 di sini hari ini.

Menurutnya peranan dan tanggungjawab pemaju hartanah juga akan ditakrifkan dengan jelas dan dikawal dengan lebih baik, sekali gus membawa kepada pengurusan bangunan yang efektif.

Dalam pada itu Joachim berkata prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan bagi proses permohonan Lesen Permit Pengiklanan Pembangun (APDL) sedang dikemas kini untuk mengurangkan birokrasi.

Beliau berkata pematuhan kepada SOP itu penting untuk mengurangkan kelewatan dan memastikan pematuhan terhadap keperluan kawal selia.

Mengenai pendigitalan pelbagai proses aplikasi pembangunan, Joachim berkata semua permohonan akan dihantar secara dalam talian pada masa depan.

“Pendigitalan menyediakan kemudahan dan kebolehcapaian, membolehkan pihak berkepentingan menyerahkan permohonan dari mana-mana sahaja pada bila-bila masa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan