SUKAN

SABAR DAN PERCAYA, FAISAL - CHONG WEI

14/06/2024 08:05 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Sidang media oleh pemain sayap Selangor FC Mohamad Faisal Abdul Faisal Halim semalam turut menyentuh hati legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei.

Menerusi hantaran Istagram hari ini, Chong Wei mahu supaya Faisal atau dikenali sebagai Mickey, terus tabah kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya.

"Anda akan kembali lebih kuat. Sabar dan percaya. Fokus pada pemulihan dan kami menunggu kepulangan anda Faisal," katanya.

Faisal yang membuat penampilan pertama di khalayak umum semalam selepas diserang oleh individu tidak dikenali menggunakan asid di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya pada Mei lepas, mendedahkan bahawa beliau mempertimbangkan untuk menamatkan kerjaya bola sepaknya dan melepaskan gaji lumayan selepas insiden terbabit.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu yang mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa anggota badan berkata kehidupannya berubah dengan drastik susulan serangan asid itu.

Faisal berkata beliau tidak mampu melakukan banyak perkara sendirian seperti makan dan pergi ke bilik air, dan memerlukan bantuan daripada keluarga, terutama isterinya untuk berbuat demikian.

Pada 25 Mei, Selangor FC dalam kenyataan mengesahkan pemain berusia 26 tahun itu dibenarkan keluar dari hospital swasta selepas menjalani empat pembedahan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan