AM

MALAYSIA TIDAK LANTIK GURU BAHASA INGGERIS DARI SINGAPURA, IA PROGRAM KESUKARELAWANAN - PM ANWAR

14/06/2024 05:29 PM

PUTRAJAYA, 14 Jun (Bernama) -- Dakwaan kononnya Malaysia akan melantik guru bahasa Inggeris dari Singapura untuk mengajar di negara ini adalah tidak benar, sebaliknya ia perbincangan mengenai program berbentuk sukarelawan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata perbincangannya dengan rakan sejawatnya dari Singapura Lawrence Wong sebelum ini adalah kemungkinan diwujudkan program melibatkan skim bantuan atau sukarelawan untuk mengajar bahasa Inggeris. 

“Apa yang salah? Salahnya ialah kononnya kita sekarang akan melantik guru-guru bahasa Inggeris dari Singapura - itu salah.

“Yang saya bicarakan dengan PM Singapura ialah mengadakan skim bantuan atau melantik seorang sukarelawan yang dibayar oleh pemerintah Singapura untuk pergi ke kawasan terutama miskin bandar, desa dan pendalaman Sabah dan Sarawak untuk mengajar bahasa Inggeris,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Aspirasi MADANI Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) di sini hari ini.

Ada media sebelum ini melaporkan beberapa pendangan yang mengkritik cadangan membawa masuk guru bahasa Inggeris daripada Singapura selain turut mempersoal kenyataan kerajaan sebelum ini yang tegas ingin melaksanakan penjimatan.

Sementara itu Anwar berkata beliau telah mengarahkan siasatan terperinci dilaksanakan berhubung kes serangan asid ke atas pemain bola sepak kebangsaan dan Selangor FC Mohamad Faisal Abdul Halim.

“Sekarang riuh rendah kes penderaan pemain bola sepak, kes pembunuhan seorang kanak-kanak orang kurang upaya (kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin). Kita prihatin, saya kebetulan Perdana Menteri tetapi saya juga manusia. 

“Saya juga nak tahu mengapalah sampai jadi begini? Siapa yang sampai hati boleh dera dan bunuh dengan kejam seorang anak. Kalau saya, saya nak polis jawab esok, tetapi (segala) proses kena lalui (dahulu),” katanya.

Anwar berkata beliau memahami kegusaran masyarakat berhubung kedua-dua isu berkenaan dan mahukan kes berkenaan segera dinoktahkan.

Mayat Zayn Rayyan, 6, ditemukan pada 6 Dis lepas dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya selepas dilaporkan hilang sehari sebelum itu dan semalam ibu bapa kanak-kanak itu didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mengabai kanak-kanak itu dengan cara mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Faisal Halim pula dilaporkan mengalami kelecuran tahap empat akibat disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya pada 5 Mei lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan