SUKAN

ANGKAT BERAT KEDAH SASAR TIGA PINGAT DI SUKMA SARAWAK

14/06/2024 03:51 PM

ALOR SETAR, 14 Jun (Bernama) -- Persatuan Angkat Berat Negeri Kedah (PABNK) meletakkan sasaran tiga pingat buat Kontinjen Kedah pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang akan berlangsung di Sarawak tahun ini.

Presiden PABNK Yahaya Sani berkata seramai lima atlet angkat berat dari Kedah akan berjuang untuk memastikan sasaran satu pingat emas, satu perak dan satu gangsa dapat dibawa pulang dalam temasya sukan yang dijadual berlangsung pada Ogos ini.

"Tiga atlet wanita dan dua atlet lelaki telah dikenal pasti untuk mengalas tanggungjawab berkenaan iaitu Nur Alyaa Nabilah Ahmad bagi kategori 87 kilogram (kg); Nur Syazwani Radzi (64kg) dan Nur Syahmina Muhd Salmi (45kg).

"Manakala Mohammad Amin Hakimi Mohd Shukry akan bertanding dalam kategori 61kg dan Mohammad Naim Haron dalam kategori 55kg," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata segala persiapan rapi sedang dilakukan bagi membantu atlet-atlet terbabit untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh persatuan.

"Semua atlet sedang menjalani latihan secara intensif melalui bimbingan jurulatih yang telah dilantik oleh pihak Majlis Sukan Negeri (MSN) Kedah dan latihan diadakan secara berpusat di Pusat Latihan Angkat Berat MSN Kedah.

"Latihan diadakan setiap hari pada waktu pagi dan petang kecuali hari Khamis hanya pada waktu pagi manakala Jumaat adalah hari rehat yang diberikan kepada para atlet," katanya.

Dalam pada itu, Yahaya berkata sasaran itu boleh dicapai dengan kesungguhan yang dipamerkan oleh setiap atlet dan ia juga dilihat berdasarkan pencapaian yang diperoleh semasa SUKMA Kuala Lumpur pada 2022.

"Pada SUKMA 2022, atlet angkat berat Kedah berjaya membawa pulang dua pingat iaitu satu pingat emas menerusi Nur Syazwani dalam kategori 64kg dan satu pingat gangsa dari Masturah Kamarudin dalam kategori 59kg," katanya.

Sebanyak 488 acara akan dipertandingkan pada temasya SUKMA Sarawak 2024 yang dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan