AM

KEKOSONGAN JAWATAN DIIKLANKAN DALAM TALIAN MENINGKAT 32.5 PERATUS - DOSM

14/06/2024 03:32 PM

PUTRAJAYA, 14 Jun (Bernama) -- Kekosongan jawatan diiklankan dalam talian merekodkan peningkatan 32.5 peratus dengan 448,181 kekosongan pada suku keempat 2023 (ST4 2023) berbanding 338,305 kekosongan pada suku sebelumnya (ST3 2023) , menurut Analisis Data Raya Job Market Insights dan My Job Profile: Penawaran Pekerjaan Diiklankan Dalam Talian di Malaysia dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata berdasarkan perbandingan tahun ke tahun, bilangan kekosongan jawatan mencatatkan pertumbuhan tiga digit iaitu 119.2 peratus berbanding 77.9 peratus pada suku ketiga 2023.

Katanya, pada ST4 2023, sebanyak 85,814 pertubuhan menawarkan kekosongan jawatan berbanding 77,499 pertubuhan yang direkodkan pada ST3 2023.

“Kekosongan jawatan yang diiklankan dalam talian tertinggi adalah pada Disember 2023 iaitu sebanyak 172,777 kekosongan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai kategori pekerjaan, Mohd Uzir berkata hampir separuh daripada kekosongan jawatan ditawarkan adalah dalam bidang profesional dengan 48.9 peratus atau 218,947 kekosongan pada ST4 2023, diikuti 18.5 peratus (82,950 kekosongan) bagi kategori pengurus dan 17 peratus (76,284 kekosongan) bagi juruteknik dan profesional bersekutu.

Mohd Uzir berkata pekerjaan popular yang mendapat permintaan tinggi adalah profesional pengiklanan dan pemasaran, profesional bersekutu pentadbiran, pengarah urusan dan ketua eksekutif, akauntan, juruaudit serta pembangunan perisian.

Beliau berkata mengenai kekosongan jawatan mengikut sektor ekonomi pula, kebanyakan kekosongan jawatan pada ST4 2023 adalah dalam sektor perkhidmatan iaitu 50.9 peratus atau 228,148 kekosongan. 

Menurutnya, perdagangan borong dan runcit mendominasi kekosongan dengan 15.9 peratus atau 71,154 pekerjaan diikuti pembuatan (32,976), aktiviti pentadbiran dan khidmat sokongan (32,113) serta profesional, saintifik dan teknikal (27,757).

Mohd Uzir berkata Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan kekosongan jawatan tertinggi iaitu 81,574 atau 18.2 peratus diikuti Selangor 43,673 (9.7 peratus), Johor 19,822 (4.4 peratus), manakala Perlis mencatatkan hanya 79 kekosongan jawatan sahaja.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan