EKONOMI

ASEAN DIGESA BEKERJASAMA JANA POTENSI PASARAN HALAL BERNILAI US$5 TRILION - HDC

14/06/2024 01:25 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Halal Development Corporation Bhd (HDC) menggesa kalangan negara anggota ASEAN untuk bekerjasama membangunkan ekosistem halal serba kukuh bagi menjana peluang besar ekonominya.

Pengerusi HDC Khairul Azwan Harun berkata sebagai penyelaras utama ekosistem halal Malaysia, HDC berupaya membangunkan rangka kerja sesuai untuk memaksimumkan potensi perdagangan halal dalam pelbagai aspek selain menyediakan penyelesaian menyokong pergerakan produk serta perkhidmatan halal.

"Kewujudan 1.9 bilion umat Islam yang mewakili 24 peratus daripada penduduk global, mendorong permintaan terhadap produk dan perkhidmatan halal.

“Malah, unjuran pasaran halal global bernilai US$5 trilion menjelang 2030, juga terlalu penting untuk diketepikan oleh ASEAN dan terlalu luas untuk ditampung oleh satu negara sahaja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairul Azwan berkata Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan penglibatan dalam ASEAN.

Kedudukan itu, katanya, akan membolehkan Malaysia berkongsi sumber dan secara bersama mewujudkan komuniti yang dapat memanfaatkan kepakaran masing-masing.

“Hasrat kami untuk berkongsi pengalaman dengan negara ASEAN yang berjiran yang turut terhasil daripada persamaan aspek budaya dan pengalaman," katanya.

Selain itu, HDC juga secara proaktif mempercepat pembangunan industri halal di rantau ini dengan menganjurkan Modul Industri Halal  bagi Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).

"MTCP adalah program kerjasama teknikal dua hala yang diwujudkan oleh kerajaan Malaysia untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran pembangunan Malaysia dengan negara-negara sedang membangun lain.

"Siri pertama program bertajuk 'Halal: Kesedaran Industri dan Pembangunan Ekosistem' berakhir semalam dengan 15 delegasi antarabangsa mewakili Filipina, Laos dan Thailand, berjaya menamatkan program 10 hari itu," kata HDC.

Program yang bermatlamat membantu wakil setiap negara memahami pendekatan Malaysia untuk membangunkan ekosistem halal, juga memberi bimbingan dari segi membangunkan ekosistem halal di peringkat masing-masing.

"Dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Luar Malaysia, program itu mengetengahkan peranan penting Malaysia dalam meningkatkan kesedaran halal dan sokongan pembangunan ekosistem industri itu,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan