SUKAN

ASN 2023: TUAH NOMBOR ENAM BUAT MIKE MAHEN

13/06/2024 11:56 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Nombor enam sememangnya membawa tuah buat bekas jaguh bina badan negara Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah yang merangkul Olahragawan Kebangsaan pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2023 di sini, malam ini.

Selain bergelar juara dunia dan Asia buat kali keenam tahun lepas, Mohd Syarul yang turut dikenali ‘Mike Mahen’ kini berdiri sebaris dengan pemenang lain termasuk dua legenda bina badan negara Datuk Abdul Malek Noor dan Sazali Samad selepas pulang dengan tangan kosong dalam lima pencalonan di majlis berprestij tersebut sebelum ini.

Beliau yang bersara Mac lepas tidak menyangka memenangi anugerah tertinggi tersebut selepas menyedari menerima tentangan sengit dari calon lain iaitu Muhamad Rafiq Ismail (tenpin boling) dan tiga pemenang emas Sukan Asia Hangzhou 2022 iaitu Ng Eain Yow (skuasy), Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil (ekuestrian) serta Muhammad Arif Afifuddin Ab Malik (karate).

“Alhamdulillah lepas bersara saya dapat gelaran Olahragawan Kebangsaan, ini merupakan penghargaan tertinggi buat saya,” katanya pada sidang media di sini.

Dalam pada itu atlet tenpin boling negara Natasha Mohamed Roslan bersyukur dapat merangkul gelaran Olahragawati Kebangsaan buat kali pertama sekali gus merealisasikan hasratnya yang mahu menggondol gelaran tersebut sejak bergelar atlet.

Beliau berkata kejayaan mentor dan legenda tenpin boling negara Datuk Shalin Zulkifli yang pernah dipilih sebagai Olahragawati Kebangsaan sebanyak lima kali sebelum ini memberi inspirasi buatnya untuk mengecapi nikmat kejayaan tersebut.

“Shalin selalu beri semangat sejak mengesan bakat saya dari Sukan Malaysia (Sukma). Beliau juga berpesan walaupun sudah menang tinggi mana sekali pun, sentiasa rendah diri, jangan berlagak dan sentiasa lakukan yang terbaik,” katanya.

Juara Kejohanan Dunia 2023 itu juga merasakan bintang skuasy negara S. Sivasangari dan Nurul Alyani Jamil sebagai pencabar utamanya.

Oktober lepas, atlet dari Selangor itu menamatkan kemarau 12 tahun Malaysia dengan memenangi pingat emas acara individu pada Kejohanan Dunia 2023 di Salmiya, Kuwait selepas mengenepikan cabaran rakan senegara Sin Li Jane, 2-1.

ASN yang mula diperkenalkan sejak 1966 adalah pengiktirafan tertinggi kerajaan bagi menghargai kecemerlangan sepanjang tahun yang dicapai atlet, jurulatih, pegawai dan persatuan sukan kebangsaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan