AM

PM ANWAR MAHU PDRM AMBIL TINDAKAN TEGAS TERHADAP PESALAH RASUAH

14/06/2024 01:10 AM

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan negara tidak mungkin akan selamat sekiranya tiada tindakan profesional serta tegas diambil terhadap sebarang salah laku atau rasuah.

Oleh itu, beliau mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas mengikut fakta yang jelas terhadap penjenayah dan pesalah rasuah tanpa mengira status demi menegakkan keadilan.

Anwar berkata ramai dalam kalangan rakyat berasa resah dan mengeluh apabila siasatan kes jenayah dan rasuah mengambil masa yang lama, namun rakyat juga harus faham langkah itu bagi memastikan siasatan dapat dilakukan dengan adil tanpa melindungi mana-mana pihak.

“Saya tidak mahu jadi Perdana Menteri tetapi melindungi penjenayah atau perasuah. Jadi pastikan tindakan itu profesional, adil dan tidak menghukum sebelum ada fakta dan lihat kepada sudut undang-undang.

“Saya singgung perkara ini secara langsung dalam majlis ini kerana yang menjadi mangsa juga adalah ahli sukan yang giat dalam olahraga. Jadi jaminan itu penting supaya ada perasaan semua rakyat, baik ahli sukan ataupun penjawat awam bahawa ada tindakan tegas,” katanya ketika berucap di Majlis Anugerah Sukan Negara 2023 di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil di sini malam ini.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Timbalannya Adam Adli Abd Halim.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan