AM

PROGRAM PROMOSI BERSASAR TPS TINGKAT TAHAP PENERIMAGUNAAN TEKNOLOGI NUKLEAR

13/06/2024 10:51 PM

ALOR SETAR, 13 Jun (Bernama) -- Program promosi bersasar Technology Preview and Showcase (TPS) dapat meningkatkan tahap penerimagunaan terhadap teknologi nuklear dalam sektor-sektor berpotensi.

Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hassim berkata program itu juga berupaya meningkatkan minat dalam pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

"TPS ialah satu daripada platform berterusan Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dalam rangka promosi pengkomersialan produk, perkhidmatan dan latihan teknologi nuklear yang aman serta selamat kepada rakyat dan industri.

"Melalui program ini, hasil penyelidikan dan pembangunan para penyelidik Nuklear Malaysia dapat diketengahkan merentasi pelbagai bidang seperti aplikasi teknologi nuklear dalam sektor agropertanian, teknologi pemprosesan sinaran, perindustrian, alam sekitar, perubatan, kesihatan dan keselamatan sinaran, kejuruteraan nuklear serta latihan," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Perasmian Program Promosi Bersasar Technology Preview and Showcase (TPS) Siri 2 dan Pelancaran Galeri Padi Nuklear yang disempurnakan oleh Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin di Muzium Padi Kedah dekat sini hari ini.

Menurut Aminuddin, pengunjung Muzium Padi Kedah berpeluang mendapatkan maklumat dan peranan Nuklear Malaysia dalam penghasilan variasi benih padi baharu NMR 152 sepanjang program dua hari itu.

Beliau berkata melalui projek Dana Penyelidikan Strategik (SRF) MOSTI, dua lagi varieti padi baharu negara disasarkan dihasilkan pada penghujung 2026 dengan menggunakan titisan padi termaju.

"Usaha ini tidak hanya meningkatkan nisbah kecukupan kendiri Malaysia tetapi juga secara signifikan meningkatkan taraf kehidupan pesawah selaras dengan dasar sekuriti makanan negara," katanya.

Nuklear Malaysia juga terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi termaju yang merangkumi pelbagai aplikasi, termasuk teknologi perubatan, perindustrian, pertanian dan alam sekitar.

"Usaha Nuklear Malaysia dalam membangunkan penyelidikan dalam teknologi nuklear dan teknologi yang berkaitan secara selamat serta cekap dalam usaha mengurangkan pergantungan kepada teknologi luar dan menyumbang kepada kelestarian alam sekitar," katanya.

Pada tahun ini, program TPS telah diadakan di Johor Bahru bagi zon selatan termasuk negara jiran Singapura.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan