EKONOMI

KUMPULAN EPIC LANCAR OPERASI KREN GANTRI, TALI SAWAT TINGKAT KECEKAPAN PELABUHAN KEMAMAN

13/06/2024 10:20 PM

KUALA TERENGGANU, 13 Jun (Bernama) -- Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri Terengganu, Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (Kumpulan EPIC) melancarkan operasi dua kren gantri baharu dan tali sawat di Dermaga Timur, Pelabuhan Kemaman, semalam bagi meningkatkan kecekapan pelabuhan itu. 

Majlis disempurnakan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun serta Pengarah Kumpulan EPIC yang juga Pengerusi Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn Bhd (KPKSB) Datuk Ahmad Amzad Mohamed@Hashim.

Kumpulan EPIC menerusi kenyataannya, berkata kren yang mula beroperasi pada 5 Mei lepas itu dijangka meningkatkan kapasiti pelabuhan kepada tujuh juta tan setahun berbanding empat juta tan sebelum ini. 

Malah, usaha itu menampakan impak transformatif terhadap aktiviti pelabuhan dengan kapasiti pengendalian kargo meningkat tiga kali berbanding penggunaan kren kapal. 

"Hasilnya, tempoh kapal berlabuh juga dapat dikurangkan sebanyak tiga kali ganda, sekali gus meningkatkan kapasiti pelabuhan, memendekkan tempoh putaran kerja manakala produktiviti keseluruhan juga meningkat,” katanya.

Selain itu, tali sawat sepanjang 8.2 kilometer yang siap dipasang pada April lepas dan menghubungkan Pelabuhan Kemaman dengan kilang Eastern Steel Sdn Bhd (ESSB), dapat mengoptimumkan operasi pengangkutan kargo dengan lebih lancar dari pelabuhan ke fasiliti kilang. 

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Pelabuhan dan Perkhidmatan Marin Ashari Mohammad dalam ucapannya berkata Kumpulan EPIC telah menjalankan transformasi bagi menambah baik kemudahan pelabuhan.

Beliau juga menyifatkan kerjasama strategik antara Kumpulan EPIC dengan Eastern Steel Material Handling Sdn Bhd (ESMH) sebagai penting dalam menyokong operasi syarikat demi menampung peningkatan permintaan perkhidmatan logistik di pelabuhan itu.

"Pelancaran ini menandakan pencapaian besar syarikat ke arah menjadi pengendali pelabuhan terkemuka dan jalinan kerjasama dengan ESMH penting bagi kejayaan ini. Ini juga membolehkan syarikat terus memberikan perkhidmatan pengendalian kargo berkelas tinggi," katanya. 

Untuk rekod, KPKSB mula menjalin kerjasama dengan ESMH pada tahun lepas bagi pembekalan dan penyelenggaraan dua kren dermaga tambahan di Dermaga Timur.

Kumpulan EPIC juga berkongsi hasrat untuk memaksimumkan kapasiti pengendalian dermaga sedia ada sebelum meneruskan pengembangan seterusnya, sejajar dengan kemudahan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan menambah ketersambungan dan kapasiti pelabuhan bagi menampung pertambahan jumlah kargo.

Pada masa sama, Ashari berkata kumpulan itu mempunyai perancangan kukuh untuk meningkatkan infrastruktur pelabuhan demi manfaat pelanggan sedia ada dan baharu dengan jangkaan pemasangan empat lagi tambahan kren Level-Luffing di Dermaga Timur.

Kren-kren baharu itu akan meningkatkan keupayaan pengendalian pelabuhan kepada 12 juta tan metrik setahun, sekali gus mengukuhkan kedudukan kumpulan itu sebagai pemain terkemuka industri berkenaan, katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan