AM

TUNE PROTECT PERKASA GENERASI MASA DEPAN MENERUSI INISIATIF SUKAN DAN DIGITAL

13/06/2024 09:25 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Tune Protect Group Berhad (Tune Protect) memperkenalkan inisiatif yang menumpukan kepada bidang sukan dan digital di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru Si Rusa, Port Dickson baru-baru ini bagi merapatkan jurang digital dalam kalangan pelajar.

Tune Protect dalam kenyataan menyebut inisiatif dengan kerjasama organisasi tidak berasaskan keuntungan, Nourish Malaysia itu adalah sebahagian daripada program amalan baik korporat Kumpulan Tune Protect.

“Sejak Oktober tahun lalu, pelbagai rancangan telah dirangka untuk menyalurkan sumbangan seperti komputer riba dan komputer peribadi, menyediakan peralatan sukan seperti petak lompat jauh, memperbaharui pusat sumber digital dan lain-lain,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut seramai 80 sukarelawan daripada Tune Protect menghabiskan hujung minggu mereka bekerja bersama guru dan pelajar sekolah berkenaan dalam program yang diadakan pada 18 dan 25 Mei lepas.

Pelbagai aktiviti dijalankan seperti mengecat pusat sumber digital, memasang jubin vinil, kerja pembersihan bersama komuniti, melukis mural, memperbaiki kawasan padang sekolah, memindah dan menyusun barangan serta mengendalikan aktiviti di padang.

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Tune Protect How Kim Lian dalam kenyataan sama berkata syarikat insurans digital tempatan itu bukan sahaja menyediakan akses kepada perlindungan yang lebih mudah tetapi juga memanfaatkan teknologi untuk membantu rakyat Malaysia terutama golongan kurang bernasib baik supaya menjadi celik digital.

Menurutnya lebih 65 peratus daripada 799 pelajar SK Kampung Baru Si Rusa terdiri daripada golongan B40.

How berkata inisiatif itu bertujuan melahirkan generasi mempunyai kemahiran digital dan memberi dorongan kepada atlet masa hadapan yang berkemampuan bersaing di peringkat lebih tinggi.

“Ini mengukuhkan lagi aspirasi Tune Protect untuk menjadi syarikat insurans gaya hidup, oleh yang demikian kami memberi tumpuan lebih mendalam kepada pembangunan kemahiran dan sukan,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata Tune Protect telah menjangkaui komitmen amalan baik korporatnya dengan mencapai 6,954 jam kerja sukarelawan sejak 2022 hingga kini, melebihi sasaran awal 6,000 jam untuk tempoh 2022-2024.

“Pencapaian ini memperlihatkan kesungguhan kami yang berterusan dalam memberikan impak positif kepada komuniti,” katanya.

Meneruskan inisiatif amalan baik korporat, Tune Protect akan menganjurkan klinik sukan untuk atlet sekolah melibatkan kerjasama dengan fakulti sukan sebuah universiti bagi menyediakan latihan pakar dan akses kepada kemudahan yang lebih canggih.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan