AM

HOSPITAL PASIR GUDANG DIJANGKA BEROPERASI APRIL 2025

13/06/2024 07:32 PM

JOHOR BAHRU, 13 Jun (Bernama) -- Hospital Pasir Gudang yang sedang dibina dijangka dapat beroperasi sepenuhnya lebih awal iaitu pada April tahun depan.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata setakat ini kerja-kerja pembinaan telah mencapai kemajuan fizikal mendahului dua bulan lebih awal iaitu 83.55 peratus berbanding 72.5 peratus daripada jadual asal.

“Projek ini sepatutnya dijangka siap pada Mei 2025, tetapi ia akan siap pada Mac iaitu dua bulan lebih awal.

“Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor Dr Mohtar Pungut@Ahmad, beliau menyatakan bahawa mengikut perancangan, apabila siap pada Mac, sebulan selepas itu ia dijangka dapat beroperasi,” katanya pada sidang media selepas melawat tapak projek pembinaan hospital itu di sini hari ini.

Turut hadir Dr Mohtar, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim dan Ahli Dewan Undangan Negeri Johor Jaya Liow Chai Tung.

Ahmad berkata antara faktor kepantasan pelaksanaan projek itu disumbang daripada penggunaan pemodelan maklumat bangunan (IBM) dan sistem binaan berindustri (IBS) dalam aspek perancangan dan pelaksanaan.

“Selain itu, ia turut disumbang menerusi komitmen dan persefahaman tinggi yang ditunjukkan oleh pasukan kontraktor dan pasukan projek,” katanya.

Beliau berkata projek bernilai RM375.7 juta itu melibatkan enam skop kerja iaitu membina sebuah hospital bertaraf hospital pakar, kuarters kelas G, asrama jururawat, bangunan mekanikal dan elektrik, bangunan sokongan serta kerja-kerja infrastruktur.

Menurut Ahmad, hospital dibangunkan di Bandar Seri Alam, Masai di kawasan berkeluasan 20.6 hektar itu antaranya dilengkapi dengan fasiliti 304 katil, 14 perkhidmatan pakar, lapan bilik pembedahan, 65 bilik konsultasi rawatan pesakit luar, rumah mayat, farmasi pandu lalu dan lebih 1,000 ruang parkir.

Ahmad berkata hospital itu yang berjarak 19 kilometer (km) dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan 12 km dari Hospital Sultan Ismail (HSI) dapat meningkatkan kapasiti bagi mengurangkan kesesakan pesakit di kedua-dua hospital kerajaan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan